Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khaled: Mustahil mereformasi Umno jika Najib masih terlibat
Diterbitkan:  Aug 9, 2018 6:37 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Adalah mustahil Umno untuk bangkit daripada kekalahannya jika ia terus mengimbau masa lalu dan membenarkan Datuk Seri Najib Razak yang akan dibicarakan terlibat dalam hal ehwal parti, kata naib presidennya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam satu kenyataan hari ini, bekas menteri besar Johor itu berkata sudah tiba masanya Umno menyedari bahawa Najib sebenarnya yang sedang dibicarakan dan bukannya Umno.

"Realiti semasa yang dihadapi oleh Umno menuntut ahli parti merenungkan naratif lazim untuk membela serta menerima kenyataan bahawa rakyat telah bersuara dan menolak kita.

"Kita bukan lagi kerajaan dan kita tidak lagi mempunyai keistimewaan untuk berkata dengan yakin bahawa masih ada orang Melayu di belakang kita.

"Mereka yang menafikan realiti tersebut mungkin berkata bahawa kita masih memegang 46 peratus undi Melayu. Ya, itu mungkin benar tetapi kita juga perlu melihat demografi Melayu dan nilai-nilai mereka.

"Kita mesti memenuhi keperluan semua - Melayu di bandar, separuh bandar dan paling penting seluruh rakyat Malaysia,” kata Khaled.

Khaled turut menyokong sentimen yang disuarakan oleh bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani baru-baru ini bahawa Umno mesti kembali kepada falsafah dan asasnya penubuhannya iatu menegakkan kepentingan Melayu dan tidak memandang rendah kaum lain dalam usaha mendapatkan kuasa.

Johari yang juga ketua Umno Titiwangsa, turut dilaporkan berkata, bahawa adalah satu kesilapan untuk membiarkan Najib berkempen untuk BN pada pilihan raya kecil Sungai Kandis baru-baru ini memandangkan bekas perdana menteri itu dicemari tuduhan rasuah yang akan menyaksikan Umno terpalit sama.

Kenyataan Johari mengundang bidasan daripada Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengingatkannya supaya “janganlah pijak kepala seseorang apabila tengkuk telah berada di paras buah pinggang."

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS