Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid kata BN tak digantung, Annuar dakwa kenyataan dipetik luar konteks

Pemimpin tertinggi BN menafikan gabungan politik itu digantung buat sementara.

Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Malaysiakini artikel berita yang mendakwa sedemikian adalah "tidak benar".

Timbalannya Datuk Mohamad Hasan ketika dihubungi juga berkata BN dan Umno tidak pernah membincangkan perkara itu kerana "tiada keperluan" untuk berbuat demikian.

Sementara itu, Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran memaklumkan beliau tidak tahu tentang sebarang langkah untuk menggantung BN.

Mereka mengulas artikel di The Malaysian Insight yang bertajuk "BN digantung sementara, kata Umno".

Artikel itu memetik Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa sebagai berkata: "BN pada masa ini perlu digantung untuk sementara waktu. Biar kita cuba pendekatan baru."

Ketika dihubungi, Annuar berkata kenyataannya itu telah dipetik di luar konteks.

"Tidak pernah ada keputusan untuk gantung BN...Saya hanya setiausaha agung Umno, apa kuasa saya untuk bercakap tentang BN?" katanya kepada Malaysiakini.

Ketika wawancara itu, katanya, beliau ditanya berhubung rancangan MCA untuk menggunakan logo sendiri pada PRK Balakong, dan beliau berkata ia boleh dipertimbangkan.

"Kemudian timbul soal BN. Saya kata BN seperti biasa (dan saya cadangkan) ia digantung buat sementara," katanya lagi.

Tajuk artikel itu telah dikemaskini kepada "BN perlu digantung sementara, kata Umno."

Gabungan politik yang memerintah negara selama 61 tahun itu dalam keadaan terumbang-ambing selepas tewas di tangan Pakatan Harapan pada PRU ke-14.

Parti komponen di Sarawak telah keluar dan menubuhkan gabungan sendiri pada Jun lalu, sementara GERAKAN mengambil langkah sama tidak lama selepas itu.

BN kini dianggotai tiga parti yang mengasaskannya iaitu Umno, MCA dan MIC. 51 daripada 54 kerusi parlimen mereka adalah daripada Umno.

Malah MCA juga merancang untuk menggunakan logo sendiri dalam PRK Balakong dan bukannya logo dacing seperti kelazimannya.


Laporan oleh Darshini Kandasamy, Hariz Mohd, Faisal Asyraf, and Zikri Kamarulzaman.

Lihat Komen
ADS