PTPTN fail 22 kes di mahkamah tuntut bayaran pinjaman
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah memfailkan 22 kes di mahkamah untuk menuntut bayaran balik pinjaman pendidikan, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Fu Ah Kiow Rabu.
Bagaimanapun, 10 daripada peminjam itu telah menghubungi PTPTN untuk berunding mengenai kaedah pembayaran pinjaman mereka yang tertunggak setelah kes itu difailkan.
"Kami belum dapat menyerahkan notis kepada 12 yang lain kerana tidak dapat dikesan. Bagi 10 peminjam ini yang telah menghubungi kita dan mengaturkan pembayaran balik, kita tidak akan meneruskan tindakan mahkamah," katanya.
Beliau mengulas mengenai jumlah peminjam PTPTN yang dihadapkan ke mahkamah kerana gagal membayar balik pinjaman pelajaran daripada perbadanan itu sejak ia diwujudkan pada 1999.
Menurut laporan Bernama, Fu berkata, 22 peminjam itu merupakan sebahagian daripada 443 peminjam yang nama mereka disiarkan dalam akhbar kerana gagal membuat sebarang pembayaran balik.
Sejak penubuhannya pada 1999, PTPTN telah meluluskan pinjaman berjumlah RM15.1 bilion sehingga 30 September lalu dan sebanyak RM9.3 bilion telah dikeluarkan kepada peminjam.
Fu berkata daripada jumlah itu, RM155.6 juta telah berjaya dikutip semula oleh PTPTN berbanding RM271.3 juta jumlah yang patut dibayar oleh peminjam yang sudah lulus pengajian dan telah bekerja.
Sehubungan itu, kerajaan telah memperketatkan peraturan pengutipan semula pinjaman pelajaran bagi mengatasi masalah bayaran pinjaman yang tertunggak, katanya.
Beliau berkata sebuah jawatankuasa untuk menyemak semula Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga akan ditubuhkan.
Selain itu, katanya, kerajaan juga akan mengkaji semula Akta Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) bagi menguatkuasakan kawalan ke atas pengiklanan yang mengelirukan oleh IPTS.