Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'Penggantungan ECRL tak jejas pelaburan lain China'

Exco Selangor Datuk Teng Chang Khim yakin keputusan kerajaan pusat untuk menggantung Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak akan menggusarkan pelabur lain dari China.

Teng berkata ECRL adalah kes terpencil dan tidak mencerminkan sikap negara terhadap pelaburan lain dari negara itu.

Menurutnya, pelaburan China boleh dipisahkan kepada dua "gelombang" - gelombang pertama berasaskan hubungan antara kerajaan (G2G) dan berkaitan infrastruktur, sementara yang kedua adalah pelaburan dalam sektor pembuatan swasta.

"ECRL termasuk dalam gelombang pertama yang merupakan G2G.

"Ia adalah kes terpencil dan rumit. Ia tidak patut dilihat sebagai kayu ukur negara terhadap pelaburan China. Kedua-duanya adalah isu berbeza.

"Maka ia tidak akan menjejaskan keyakinan pelabur China," katanya yang memegang portfolio pelaburan, perindustrian dan perdagangan Selangor.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia selepas majlis tanda tangan persetujuan kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan kerajaan wilayah Zhejiang China untuk e-perdagangan, di Hangzhou hari ini.

Malaysiakini diundang untuk menyertai acara itu.

Sejak 2 Ogos lalu, Teng telah melawat Nanning (wilayah Guanxi), Beijing, wilayah Shandong dan Hangzhou (wilayah Zhejiang) untuk bertemu pengilang tempatan.

Katanya, ada di kalangan mereka yang menyuarakan kebimbangan terhadap pendirian Malaysia - selepas pertukaran kerajaan - berhubung pelaburan China.

"Tentulah mereka ada soalan yang mahu ditanya dan kita boleh jelaskan kepada pengurusan tertinggi mereka."

Mengulas lanjut, beliau berkata kunjungan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China yang dijadualkan minggu depan akan mengukuhkan hubungan dua negara.

"Pada mulanya beliau akan ke syarikat Alibaba di Hangzhow sebelum ke Beijing. Beliau tentunya akan menyuarakan pendirian Malaysia yang properniagaan. Kita tidak menyimpan sebarang permusuhan.

"Ketika kali pertama sebagai perdana menteri, beliau adalah seorang pemimpin pragmatik dalam soal ekonomi, perdagangan dan hubungan luar. Kunjungannya itu akan menguatkan persefahaman antara kerajaan baru dengan China, dan meningkatkan pelaburan kedua-dua negara," katanya lagi.

Mahathir dijadual membuat kunjungan sulungnya ke Beijing pada 17 Ogos ini selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kali kedua pada 10 Mei lalu.

Setakat ini, pentadbirannya telah menggantung projek berkaitan China bernilai AS$23 bilion.

Kerajaan juga tegas untuk tidak meneruskan projek itu melainkan harga yang terlibat dikurangkan. Ia termasuk ECRL yang bernilai AS$20 bilion dan akan dijalankan Chinese Communications Construction Company.

Manakala badan pelaburan Selangor, Invest Selangor dan pusat promosi e-dagang wilayah Zhejiang menandatangani perjanjian kerjasama strategik hari ini.

Perjanjian itu, menurut Teng, adalah untuk mewujudkan rangka kerja bagi kedua-dua kerajaan dalam meningkatkan kerjasama dalam sektor e-dagang.

Lihat Komen
ADS