Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hukuman penjara mekanik paksa wanita lakukan seks luar tabii dikekalkan
Diterbitkan:  Aug 10, 2018 5:08 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan ke atas seorang mekanik yang mengaku bersalah memaksa seorang guru tadika melakukan seks oral terhadapnya.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi yang mempengerusikan panel tiga hakim menolak rayuan Noor Rizuwan Ahmad untuk mengurangkan hukuman penjara.

“Kesalahan yang kamu lakukan adalah serius. Kamu mengambil kesempatan ke atas mangsa kemalangan yang tidak berdaya. Kamu tidak sepatutnya berbuat demikian,” katanya.

Dua lagi hakim ialah Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim.

Menurut fakta kes, Noor Rizuwan, 37 dari Seri Kembangan membawa wanita berusia 25 tahun itu menaiki kereta Proton Iswara Aerobacknya, kononnya untuk menghantar mangsa ke Hospital Serdang susulan kecederaan yang dialami mangsa akibat kemalangan apabila motosikal yang dibonceng bersama teman lelaki melanggar bonggol jalan, menyebabkan kedua-duanya terjatuh.

Terdapat seorang wanita lain yang duduk di kerusi penumpang depan kereta itu dan Noor Rizuwan mengangkat mangsa yang tidak boleh berjalan kerana kecederaan yang dialaminya sebelum meletakkan mangsa di kerusi penumpang belakang.

Bagaimanapun sebaik tiba di hopsital, Noor Rizuwan tidak membantu mangsa keluar dari kereta dan selepas penumpang depan turun, lelaki itu memandu keretanya ke tempat gelap dan mencabul serta memaksa mangsa melakukan seks oral terhadapnya.

Pada 28 Okt 2016, Mahkamah Sesyen Sepang menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan ke atas Noor Rizuwan selepas dia mengaku bersalah terhadap kesalahan menurut Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu melakukan seks luar tabii terhadap seorang wanita.

Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah kereta di tepi Jalan Hospital Serdang, Selangor pada 11 Nov 2015.

Noor Rizuwan juga dikenakan hukuman penjara lima tahun kerana mencabul mangsa pada tarikh dan tempat yang sama. Hukuman penjara itu berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap pada 2 Feb 2016.

Pihak pendakwaan kemudian membuat rayuan dan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 17 Mei tahun lepas membenarkan rayuan pendakwaan itu dengan menambah hukuman penjara kepada 12 tahun dan 10 sebatan bagi kesalahan seks luar tabii.

Pihak pendakwaan tidak merayu terhadap hukuman bagi kesalahan mencabul.

Noor Rizuwan yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengurangkan hukuman penjaranya atas alasan dia sudah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail yang mewakili pihak pendakwaan berkata hukuman penjara 12 tahun adalah setimpal dengan kesalahan Noor Rizuwan yang mengambil kesempatan terhadap mangsa.

Beliau berkata Noor Rizuwan juga berdepan satu lagi kes serupa melibatkan modus operandi yang sama terhadap seorang mangsa lain.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS