Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis bongkar modus operandi baru Along
Diterbitkan:  Aug 10, 2018 5:51 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Polis berjaya membongkar satu sindiket pinjaman wang tanpa lesen menggunakan Mesin Penghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) untuk mengiklankan tawaran pinjaman mereka, yang dipercayai kes pertama dilaporkan di Pahang, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali, kejayaan itu diperoleh hasil penahanan dua lelaki berumur 18 dan 22 tahun itu dalam satu serbuan terhadap sebuah kereta di Taman Seri Kuantan di sini, pada pukul 2 petang semalam.

“Serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat daripada mangsa yang mendakwa suspek mengenakan kadar faedah yang terlalu tinggi.

Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki berkenaan menggunakan alat Mesin Menghantar SMS yang disambung kepada sebuah komputer riba untuk menghantar tawaran pinjaman wang tanpa lesen, secara rawak kepada pengguna telefon bimbit sekitar kawasan sasaran,” katanya dalam sidang media di Kuantan hari ini.

Menurutnya hasil penahanan itu polis telah merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk menghantar maklumat berkenaan antaranya sebuah Mesin Penghantar SMS, sebuah komputer riba, sekeping kad ATM, dua telefon bimbit yang terdapat dalam kenderaan suspek.

Katanya siasatan juga mendapati kedua-dua suspek telah mengelilingi hampir setiap negeri di Semenanjung Malaysia untuk menjalankan aktiviti itu dan kenderaan yang digunakan telahpun diubahsuai supaya dapat menampung jumlah voltan yang diperlukan mesin tersebut.

Berikutan itu Mohamad Noor menyeru kepada orang ramai supaya tidak mudah tertipu dengan tawaran pinjaman wang tidak sah yang akan memudaratkan diri sendiri dan menasihati supaya melakukan pinjaman dengan institusi kewangan berlesen.

Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 13 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana memberi pinjaman wang tanpa lesen yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara hingga lima tahun jika sabit kesalahan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS