Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas KP SPRM: Pegawai kastam 'balas' Najib, cetuskan isu cincin RM24j

Maklumat berhubung kemasukan cincin berlian bernilai RM24 juta pada 2011 didakwa didedahkan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia sendiri yang tidak berpuas hati, untuk menjejaskan reputasi perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak.

Dakwaan itu dibuat bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dalam ucapan yang disampaikan pada tahun itu tetapi kini dimuat naik di laman Youtube.

Ketika ucapan, Abu Kassim berkata pegawai itu telah membocorkan dokumen "Borang Kastam 1" yang menunjukkan barang yang masuk ke dalam negara tetapi tidak mendedahkan "Borang Kastam 2", iaitu untuk barang yang keluar daripada negara.

"Dalam siasatan kita, kedua-dua borang itu ada, tetapi yang dihebahkan hanya Borang Kastam 1. Niatnya untuk membalas tindakan perdana menteri (ketika itu) kerana membiarkan SPRM mengambil tindakan tegas terhadap Kastam," kata Abu Kassim.

Ketika itu SPRM sedang menyiasat 62 pegawai kastam berhubung kes pengubahan wang haram dalam apa yang dipanggil sebagai "Operasi 3B".

Dalam ucapan itu lagi, dipercayai disampaikan kepada pegawai SPRM, Abu Kassim berkata pegawai kastam yang tidak berpuas hati itu, melalui kesatuan mereka, telah bertemunya dan peguam negara ketika itu Tan Sri Abdul Gani Patail untuk memujuk mereka agar menggugurkan dakwaan terhadap pegawai kastam yang disyaki terlibat.

Apabila usaha itu gagal, mereka didakwa cuba untuk bertemu Najib yang kemudian enggan bertemu mereka.

"Saya yang nasihatkan dia (Najib) agar jangan berjumpa kerana kita nak pertahankan integriti dan tindakan kita dalam siasatan terhadap kastam (melalui 'Operasi 3B')," katanya.

"Tiada siapa dalam negara ini akan tahu (tentang cincin itu) jika pegawai kastam tidak mengambil dokumen tersebut dan edar kepada pihak lain."

Beliau berkata cincin semahal itu tidak akan dapat dibeli di kedai biasa.

"Apabila kita mahu beli cincin RM24,000, kita ke Poh Kong atau Habib Jewels. Apabila anda beli cincin RM24 juta, kedai datang kepada anda."

Jika dakwaan Abu Kassim itu benar, ia akan mengesahkan dakwaan isteri Najib, Datuk Seri Rosmah Mansor dan syarikat barang kemas Amerika Syarikat, Jacob & Co bahawa cincin yang dibawa masuk pada 2011 itu hanya untuk tontonan.

Sumber: Ucapan untuk pegawai SPRM

Rosmah tidak pernah menafikan kewujudan cincin itu, tetapi berkata kritikan - antaranya oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli - bersifat "separuh benar".

Jacob & Co berkata ia - cincin berlian Natural Fancey Blue Grade Cushion dengan 30.11 karat - untuk dilihat Maira Nazarbayev, ibu kepada Daniyar Nazarbayev yang ketika itu tunang kepada anak mereka, Nooryana Najwa.

Daniyar dan Nooryana berkahwin tiga tahun kemudian.

Sementara itu, bekas pegawai kerajaan yang ada ketika Abu Kassim menyampaikan ucapannya mengesahkan ketulenan video itu dan berkata ia dihadiri pegawai SPRM.

"Benar apa yang dikatakannya. Itulah yang ditemui IO (pegawai penyiasat)," kata sumber itu.

Katanya, ucapan itu dibuat lama sebelum siasatan terhadap 1MDB bermula.

"Pada masa itu, tiada kes rasuah melibatkan berlian dan ia sudah pun dipulangkan kepada kedai.

"Ketika dia (Abu Kassim) tahu tentang 1MDB selepas ditunjukkan oleh bukti Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dan FBI, dia mahu meneruskan kes itu. Tetapi pada masa itu, keadaan tidak kondusif dan itulah sebabnya dia minta bersara awal pada 2016," kata sumber itu lagi.

Abu Kassim merupakan sebahagian jawatankuasa khas tentang 1MDB yang diketuai Abdul Gani. Ia kemudian dibubarkan kerajaan pada 2015.

Susulan itu, Abu Kassim bersara daripada SPRM.

Selepas kejatuhan BN, kerajaan baru melantiknya sebagai pengerusi Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).

Lihat Komen
ADS