Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
NGO gesa kerajaan jadikan ketum kesalahan akta dadah

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa kerajaan memasukkan kesalahan salahguna daun ketum di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi mengatasi masalah penyalahgunaan daun ketum di negara ini.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sudah tiba masanya masalah berkaitan ketum diambil perhatian semula oleh kerajaan baharu yang mentadbir hari ini selepas ianya tertangguh sebelum ini.

“Ada cakap-cakap untuk meletakkan kesalahan itu di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 tetapi belum dapat dilaksanakan lagi, ia patut diberi penekanan oleh kerajaan sebab makin ramai yang terlibat menggunakan daun ketum.

“Saya harap Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat mencari kaedah penyelesaian terbaik agar lebih tegas dan mengenakan hukuman lebih berat,” katanya pada Program Townhall Engagement MCPF peringkat negeri Kedah yang bertemakan “Toleransi Sifar Terhadap Dadah” di Yan, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Sahabudin Abd Manan.

Dalam pada itu, Lam Thye berkata, hampir dua peratus rakyat Malaysia terlibat dengan aktiviti berkaitan dadah.

“Dalam tempoh lima tahun iaitu dari 2013 hingga 2017, seramai 126,098 penagih dadah dikesan dan ini adalah satu angka yang membimbangkan,” katanya.

Justeru, jabatan serta agensi terlibat perlu mempertingkatkan usaha kesedaran bagi mengekang gejala ini kerana hampir 50 peratus pesalah yang terlibat kes jenayah pecah rumah, curi, dan ragut berpunca daripada masalah dadah.

MCPF juga menyeru ibu-bapa agar sentiasa memantau pergaulan anak masing-masing kerana kajian mendapati pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu punca utama anak mula terjebak dengan gejala negatif itu .

- Bernama

Lihat Komen
ADS