Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
S'pura tak mahu ada isu jejas hubungan dengan M'sia

Di sebalik isu mengenai perjanjian air dan projek kereta api yang menjadi pembawa perubahan, Singapura dan Malaysia berkongsi lebih banyak kepentingan bersama berbanding perbezaan, dan republik ini akan berusaha untuk memastikan tiada satu isu akan mempengaruhi hubungan dua hala, menurut laporan TODAYOnline pada lewat Sabtu.

"Hubungan kita tidak bergantung kepada satu projek sahaja. Kami akan bekerjasama dengan setiap kerajaan Malaysia hari ini... atas dasar manfaat bersama dan saling menghormati," kata Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Chan Chun Sing yang dipetik sebagai berkata demikian.

Chan, yang juga Anggota Parlimen bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan Tanjong Pagar, dilaporkan berkata demikian kepada penduduknya pada majlis makan malam Tanjong Pagar-Tiong Bahru National Day.

"Kami melihat... peluang untuk kita bekerjasama bagi manfaat bersama. Oleh itu, berdasarkan dasar ini, kami akan terus memastikan bahawa tiada satu isu yang akan mempengaruhi hubungan dua hala antara kedua-dua negara ... Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan-rakan Malaysia kita yang baharu untuk membawa hubungan ini ke hadapan," katanya.

Dalam ucapannya, Chan menyebut mengenai ketidaktentuan global berhubung perang perdagangan AS-China, selain di peringkat tempatan, seperti persoalan mengenai hubungan Singapura dengan kerajaan Malaysia baharu yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut laporan itu, Chan berkata Singapura, sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1965, telah membina kapasiti airnya dan mempelbagaikan sumber airnya.

Ini termasuk air sulingan dan NEWater -- air sisa yang melalui penurasan mikro, osmosis songsang dan teknologi sinaran ultraviolet penyahjangkitan.

Kemajuan yang dicapai Singapura ke atas keselamatan air telah memberi keyakinan bahawa isu tersebut akan -- "dalam masa baik" -- berhenti menjadi titik perdebatan yang berulang antara kedua-dua negara, menurut menteri itu.

Beliau juga berkata keperluan Malaysia kepada air akan meningkat apabila ekonominya berkembang, membuka laluan kepada "peluang...untuk bekerjasama bagi manfaat bersama."

Chan tidak mengulas lanjut, menurut laporan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS