Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM tak diskriminasi LGBT, kata ketua pengarahnya
Diterbitkan:  Aug 12, 2018 4:33 PM
Dikemaskini: 3:29 PM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) maklum mengenai surat terbuka seorang pegawai perubatan yang mempersoalkan hak golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Bagaimanapun, Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bukan prinsip kementeriannya untuk mendiskriminasi hak golongan terbabit.

“KKM mengambil maklum mengenai seorang doktor yang menyatakan pendiriannya berkenaan LGBT di laman facebook beliau.

“Adalah dimaklumkan KKM berpegang pada prinsip tidak ada diskriminasi ke atas mana-mana agama, bangsa mahupun kumpulan masyarakat dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan,” katanya menerusi laman twitter beliau.

Menerusi hantaran yang dimuat naik pada 6 Ogos lalu, Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi mengkritik aktivis sosial Marina Mahathir yang mahukan golongan LGBT diberikan hak yang sama seperti rakyat lain negara ini.

Hantaran Dr Nur Ilyani yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) itu mendapat lebih 4,000 tanda suka dan 2,700 perkongsian di Facebook.

'Kami juga punya hak'

Antara lain Dr Nur Ilyani menulis : "Saya adalah seorang doktor perubatan dan saya tidak mengiktiraf perlakuan seks bebas apatah lagi songsang".

"Adakah anda bersetuju kini golongan yang mendominasi carta penghidap HIV adalah di kalangan komuniti LGBT?

"Sehingga kini walaupun pesakit yang hadir mendapatkan rawatan dari saya tergolong dari kalangan LGBT, saya tetap melayan mereka sebagai pesakit dan memberikan rawatan yang terbaik buat mereka.

"Apatah lagi jika mereka berada di hujung usia. Maka, hak apakah yang anda sedang perjuangkan?" tulisnya.

Katanya, pada masa ini golongan LGBT tidak dibenarkan menderma darah disebabkan gaya hidup yang berisiko tinggi.

"Adakah cik bersetuju jika ada darah yang didermakan oleh golongan LGBT didermakan kepada salah seorang ahli keluarga cik?

"Jika kalian melaungkan hak, maka kami juga mahu melaungkan hak untuk hidup aman damai serta bebas dari gaya hidup songsang," tulisnya.

Bagaimanapun, hantaran itu ‘dipadamkan’ tidak lama kemudian dipercayai selepas menerima laporan di Facebook.

Pendapat disuarakan Dr Nur Ilyani itu turut menerima kritikan Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Dr Adeeba yang mengetuai Yayasan AIDS Malaysia menasihati Dr Nur Ilyani untuk membaca lebih lanjut mengenai kemajuan dalam rawatan HIV.

"Walaupun seluruh dunia bercakap tentang kemungkinan menamatkan wabak AIDS, orang seperti anda, dan lebih buruk lagi, doktor seperti anda, membuat wabak ini lebih buruk, kerana anda menghalang orang daripada tampil ke hadapan untuk bantuan dan rawatan," katanya dalam jawapannya kepada hantaran Dr Nur Ilyani.

'Perubatan pencegahan'

Bagaimanapun, terdapat pengamal perubatan yang mempertahankan pendapat Dr Nur Ilyani, antaranya salah seorang doktor bernama Dr Murizah Mohd Zain.

"Dalam etika perubatan kita diajar untuk tidak membezakan pesakit. Sama ada yang miskin atau kaya, yang hitam atau putih, perempuan atau lelaki hatta LGBT pun akan kita rawat secara adil.

"Dalam perubatan juga kita di ajar satu prinsip yang dikenali sebagai perubatan pencegahan atau "preventive medicine".

"Jika kita tahu faktor risiko sakit jantung adalah merokok, kolesterol tinggi, darah tinggi maka tanggungjawab kita ialah meninggalkan rokok, menjaga darah tinggi dan paras kolesterol," tulisnya di Facebook.

Sementara itu, bekas timbalan dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar turut mempertahankan pendirian Dr Ilyani.

Katanya, pihaknya kesal apabila mesej mudah Dr Nur Ilyani di Facebooknya telah disalahtafsir dengan hujah beliau seorang individu yang menghakimi orang lain.

"Sebagai seorang doktor perubatan Islam, walaupun dengan pegangan agamanya, beliau telah menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak membezakan pesakitnya berdasarkan orientasi seksual dan identiti jantina mereka.

"Bagaimanapun, menentang pendapat sesiapa yang berani menyatakan prinsip al-Quran dan as-Sunnah dalam isu LGBT dalam zaman moden ini adalah perkara biasa.

"Sering kali, individu atau kumpulan ini dilabelkan sebagai pentaasub, pelampau agama dan menyebarkan kebencian walaupun ini dilakukan dengan niat memberi nasihat kepada orang ramai," katanya.

Difahamkan, aduan terhadap Nur Ilyani dibuat melalui Biro Pengaduan Awam, yang memungkinkan doktor berkenaan dikenakan tindakan tatatertib oleh Kementerian Kesihatan.

Usaha Malaysiakini untuk mendapatkan Dr Ilyani sehingga kini belum berhasil.

Lihat Komen
ADS