story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Syarikat ladang Musang King dakwa jadi mangsa sekatan Orang Asli
Diterbitkan:  Aug 12, 2018 10:01 PM
Dikemaskini: 2:05 PM

Syarikat perladangan durian Musang King yang dipertikaikan masyarakat Orang Asli Kelantan mendakwa menjadi mangsa 'sekatan haram' komuniti Temiar di Gua Musang.

"M7 Plantation Bhd dan kakitangan kami ialah mangsa - dan bukan penyebab - sekatan haram yang dipasang oleh orang yang mendakwa mewakili Orang Asli di Gua Musang, Kelantan sejak enam bulan lalu," kata pengarah syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini .

Masyarakat Temiar menuduh syarikat perladangan itu menggunakan kekasaran untuk memusnahkan sekatan yang mereka bina dengan tujuan menyekat pencerobohan di tanah mereka.

Kerajaan Kelantan tidak mengiktiraf hak tanah adat masyarakat Orang Asli di negeri ini.

Syarikat itu menafikan telah menggunakan kekerasan untuk memusnahkan sekatan, menyebutnya sebagai tuduhan "fitnah yang keterlaluan".

Hantar bekalan dengan bot

Ia berkata pengurus dan pekerjanya telah menggunakan laluan alternatif untuk masuk ke kawasan ladangnya.

"Kami juga terpaksa menghantar bekalan dengan bot dan mendedahkan kakitangan kami terhadap risiko yang lebih tinggi di sungai.

"Ini dilakukan kerana kami mempunyai polisi untuk mengelakkan konfrontasi atau memburukkan konflik dengan mana-mana pihak," katanya.

Syarikat itu menjelaskan seorang pengurusnya juga membuat laporan polis pada 30 Julai lalu berhubung "sekatan haram di jalan awam" yang menghalangnya masuk ke lapangan tempat kerjanya.

Masyarakat Temiar pada hari Jumaat lalu bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, merayu campur tangan beliau dalam pertikaian itu.

Bagaimanapun, M7 Plantation Bhd pada hari ini juga turut merayu kepada Mahathir untuk "menegakkan kedaulatan undang-undang".

Henti fitnah, cemar nama baik syarikat

"Kami merayu kepada Mahathir untuk menegakkan 'kedaulatan undang-undang' yang beliau janjikan berulang kali sejak mengambil alih jawatan perdana menteri pada Mei tahun ini.

"Kami menggesa semua pihak dalam kerajaan untuk mematuhi janji ini.

"Dasar kami yang mesra dan tidak berkonfrontasi akan kekal tetapi syarikat ini akan melakukan apa yang dapat kami buat bagi 'memelihara hak kami dan melindungi kepentingan kami'.

Syarikat itu juga menggesa pihak media untuk "menahan diri daripada sebarang kemungkinan penyataan tohmah atau fitnah".

"Tolong hentikan mencemar nama baik syarikat atau pegawai syarikat. Kami mungkin terpaksa mengambil tindakan undang-undang untuk melindungi imej dan reputasi syarikat kami," katanya.

Lihat Komen
ADS