Perkahwinan kanak-kanak perempuan Thailand berumur 11 tahun kepada lelaki berumur 30 tahun di Kelantan seharusnya ditangani melalui sistem undang-undang Malaysia dan bukannya dibawa ke Thailand, kata badan peguam Lawyers For Liberty (LFL).
Dalam kenyataan hari ini, pengarah eksekutifnya Latheefa Koya berkata dengan membawa kanak-kanak perempuan itu ke Thailand, yang merupakan saksi penting pendakwaan, akan menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.
Kenyataan itu dibuat selepas The Star melaporkan bahawa kanak-kanak perempuan itu diletakkan di bawah jagaan Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia wilayah Narathiwat dan pasukan yang terdiri dari pekerja sosial, pakar psikologi, dan doktor perubatan telah ditugaskan untuk menjaga kanak-kanak itu dan keluarganya.
Kanak-kanak itu dilaporkan dihantar ke Thailand oleh kerajaan negeri Kelantan Rabu lalu dan lelaki yang mengahwininya tidak akan dibenarkan menemuinya sementara pemeriksaan fizikal dan mental dijalankan.
Dalam kenyataan itu juga, Latheefa mempersoalkan alasan menghantar kanak-kanak itu ke Thailand sedangkan lelaki yang mengahwininya masih bebas.
"Sudah tentu, pihak berkuasa di Malaysia mempunyai sumber dan kemampuan untuk melindungi dan memberi khidmat rundingan kepada mangsa sementara undang-undang jenayah dikenakan ke atas suspek.
"Adakah penghantarannya ke Thailand menggambarkan bahawa timbalan perdana menteri dan juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak mampu melindungi kanak-kanak itu di sini?" soalnya merujuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dr Wan Azizah setakat ini dilihat tidak mengambil pendirian tegas berhubung kes berkenaan dengan berkata ia perlu serahkan kepada polis untuk siasatan dan menjelaskan perkahwinan berkenaan dibenarkan di bawah undang-undang syariah.
