Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kakitangan BTN, PLKN diserap ke kementerian
Diterbitkan:  Aug 13, 2018 1:22 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman memberitahu, kementeriannya akan membuat program baru bagi menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN).

Program baru yang diwujudkan selepas pemansuhan PLKN dan BTN itu menurutnya, akan memfokuskan untuk membentuk belia masa hadapan yang berwawasan serta tinggi jati diri mereka.

Sehubungan itu juga, dengan pemansuhan PLKN serta BTN ini turut kesemua penjawat awam yang berkhidmat dengan dua agensi itu akan diserap di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Dengan pemansuhan PLKN dan BTN, penjawat awam (yang bekerja di dua agensi itu) akan diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan dengan bajet yang ada bagi memfokuskan program melibatkan belia.

"Untuk program baru ini kita mahu pastikan pimpinan muda dapat diperkasakan. Untuk capai objektif itu juga satu rombakan besar-besaran juga akan berlaku," katanya pada sidang media di parlimen hari ini.

Jelasnya lagi, perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk Khazanah Nasional Berhad juga akan diadakan dalam masa terdekat dalam usaha merangka program baru tersebut.

“Memandangkan program ini melibatkan kerjasama merentas kementerian dan agensi, KBS akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan seperti Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Perbincangan turut melibatkan persatuan belia untuk memperhalusi mekanisme pelaksanaan agar program ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menetapkan sebarang tempoh bila program baru itu akan dimuktamadkan.

Lihat Komen
ADS