Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu Orang Asli: K'tan sedia bincang, tapi jangan 'ganggu' kuasa tanah

Kerajaan negeri Kelantan menyatakan keterbukaan untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan persekutuan dalam isu melibatkan pertikaian Orang Asli di negeri itu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun kerajaan pusat tidak boleh 'mengganggu' bidang kuasa tanah yang terletak di bawah kerajaan negeri.

"Bidang kuasa tanah ini kuasa kerajaan negeri, kerajaan persekutuan tidak boleh ganggu.

"Dan kita sendiri dari segi perbincangan kita terbuka. Tidak ada masalah mereka (boleh) datang untuk berjumpa," katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad 10 Ogos lalu menegaskan bahawa kerajaan persekutuan tidak mempunyai kuasa dalam hal ehwal tanah negeri Kelantan.

Sementara itu Mohd Amar berkata, buat masa ini pihaknya sentiasa berbincang isu tersebut yang melibatkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Pejabat Tanah dan Galian negeri (PTG).

Namun katanya, isu tuntutan yang dilakukan oleh Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JARINGAN) tidak dapat diguna pakai susulan pertubuhan itu tidak berdaftar dan tidak mewakili majoriti penduduk kaum itu.

"Dalam perjumpaan sebelum ini pihak JARINGAN mengemukakan 10 tuntutan dan mahu kita terima semua tuntutan mereka. Tuntutan mereka juga tidak munasabah.

"Antaranya mereka mahu kita gazetkan semua hutan sebagai kawasan rayau.

"Kalau macam itu kerajaan tak boleh manfaatkan hutan sedangkan sebahagian hutan ini diperlukan untuk hasil negeri dan pembangunan," jelasnya yang juga anggota dewan undangan negeri (ADUN) Panchor.

'Tanah adat hanya untuk Sabah, S'wak'

Ditanya mengenai isu tanah adat, Mohd Amar menegaskan, pengiktirafan itu hanya diguna pakai di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, kerajaan negeri bagaimanapun mempunyai dasar sendiri dalam mengiktiraf hak Orang Asli sebagai penduduk.

"Sebab itu kita mewartakan kawasan-kawasan untuk Orang Asli. Pendirian kita selaras dengan pendirian mahkmah dalam kes Orang Asli menyaman sebuah syarikat.

"Mahkamah buat keputusan supaya kerajaan negeri kena sedia kawasan penempatan dan kawasan rayau, itu memang dasar kita.

"Dasar kita penempatan Orang Asli ini memang hak mereka, tempat bercucuk tanam pun kita tidak ganggu, cuma ada masalah dari segi kita nak gazet itu lambat sebab ada isu-isu teknikal," jelasnya.

Lihat Komen
ADS