Minggu lalu Datuk Seri Bung Moktar Radin mengejutkan orang ramai apabila mencarut di dalam Dewan Rakyat.
Kali ini anggota parlimen Kinabatangan itu sekali lagi menarik perhatian dengan memberikan pandangannya mengenai kemelut komuniti LGBT.
Ketika ia masih dibincangkan dengan hangatnya Bung Moktar menciap dengan selamba untuk menyatakan "kebimbangan" dialaminya.
Bagaimanapun melalui ciapan itu fokus Bung Moktar, 58, lebih terarah kepada isu penggunaan tandas.
"Saya bimbang mulai hari ini banyak laki-laki yang akan menyamar menjadi pondan untuk memudahkan mereka memasuki tandas wanita," katanya di Twitter tengah hari tadi.
Untuk rekod lazimnya istilah "pondan" dianggap menghina berbanding istilah lain yang lebih diterima, seperti mak nyah.
Ia melibatkan seseorang yang dilahirkan sebagai lelaki namun berpakaian atau membuat penampilan seperti wanita.
Anggota parlimen Umno itu dilihat merujuk kepada kenyataan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof pada Jumaat lalu.
Dalam sidang medianya Mujahid mengulas mengenai isu diskriminasi dialami golongan transgender di negara ini dan meminta orang ramai lebih memahami.
Saya bimbang mulai hari ini banyak laki laki yg akan menyamar menjadi pondan utk memudahkan mereka memasuki tandas wanita
— Bung Moktar Radin (@MyKinabatangan) August 13, 2018
Katanya ada kejadian melibatkan doktor yang enggan memberikan perkhidmatan kepada golongan terbabit, selain berdepan dengan masalah di tempat kerja.
Turut dibangkitkan secara spontan ialah masalah penggunaan tandas di kalangan transgender.
Bagaimanapun, hari ini anggota parlimen Parit Buntar itu sudah membuat penjelasan lanjut mengenai apa yang dimaksudkannya pada sidang media berkenaan.
Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula mempunyai cara tersendiri untuk mengupas isu berkenaan.
Katanyam penyelesaian mudah untuk kekeliruan penggunaan tandas untuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dapat ditangani jika dirujuk kepada saluran kencing yang digunakan.
“Saya ingin mencadangkan jika kekeliruan ini terjadi kepada mana-mana individu, disyorkan dia berjumpa pakar untuk memeriksa dirinya semasa dia membuang air kecil di saluran mana air itu keluar.
“Jika ia keluar melalui alat sulit lelaki, silalah ke tandas lelaki. Jika keluar melalui alat sulit wanita, sila ke tandas wanita.
“Jika tidak keluar langsung, ataupun keluar tidak melalui alat sulit lelaki ataupun wanita, silalah ke hospital. Jika doktor kata anda cacat, bolehlah ke tandas orang kurang upaya (OKU),” katanya.
