Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Johari ajar HARAPAN cara teruskan GST
Diterbitkan:  Aug 14, 2018 12:49 AM
Dikemaskini: 4:55 PM

Bekas menteri kewangan kedua Datuk Johari Abdul Ghani menunjukkan cara bagaimana kerajaan Pakatan Harapan boleh meneruskan sistem percukaian GST.

Beliau berkata jika jenis barangan dan perkhidmatan yang dicukai bawah GST terlalu banyak, maka kerajaan boleh mengurangkan jenis yang dicukai itu dengan meletakkan kadar sifar GST.

Jika kadar cukai GST terlalu tinggi, kerajaan boleh turunkan daripada enam peratus kepada empat peratus dan jika bayaran balik GST bermasalah, terdapat kaedah untuk menanganinya.

"Kalaulah that it is too menjadi masalah dari segi refund, dari segi harga naik, refund saya dah cakap tadi kalau refund kita buat nett of kita dah selesai masalah dah.

"Harga, kalau kata enam peratus tinggi, kita jadikan empat peratus.

"Sebab itu kita kena bagi tahu rakyat sekarang enam peratus kita turun empat peratus, tapi engkau punya BR1M kita turun, engkau punya bantuan petani kita potong, bantuan pesawah kita potong, subsidi kita potong," katanya.

Beliau bercakap dalam wawancara sidang video langsung yang disiarkan laman Facebook, Umno Online malam tadi.

Kecilkan 'ekonomi gelap'

Beliau mengulas soalan jika GST yang dilaksanakan pentadbiran BN terdahulu sebagai menindas kerana terdapat 40,000 jenis barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai GST berbanding kira-kira 20,000 di bawah SST yang bakal dilaksanakan Pakatan Harapan.

Johari berkata kedua-dua polisi percukaian itu tidak boleh dibandingan kerana kerajaan berbeza mempunyai objektif dasar yang berbeza.

Menurutnya, BN mencukaikan lebih banyak barangan tetapi pada kadar yang rendah berbanding SST dan kemudiannya mengagihkan semula kutipan cukai itu kepada golongan berpendapatan rendah.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan GST memberi faedah seperti menjadi lebih telus dan mampu mengecilkan "ekonomi gelap".

Ia juga mengelakkan masalah cukai berganda, memberikan contoh minuman berkarbonat yang boleh dikenakan sepuluh peratus Cukai Jualan apabila dikeluarkan dan kemudian ditambah enam peratus lagi Cukai Perkhidmatan apabila dihidangkan di sebuah restoran.

Johari juga menjelaskan ketika beliau menjadi menteri kewangan dan menerima aduan mengenai pengembalian cukai input GST yang ditangguhkan, beliau telah mencadangkan agar beberapa syarikat boleh dibayar balik tanpa membuat tuntutan terlebih dahulu.

Katanya, di bawah skim yang dicadangkan ini, syarikat yang mempunyai rekod pengurusan yang baik akan disahkan tuntutannya dan akan dibenarkan untuk menuntut kredit cukai input secara bersih (nett) tetapi akan tertakluk kepada audit tahunan.

Ini akan membantu mempercepatkan pembayaran kredit pemulangan CBP, jelasnya.

Pertikai kekurangan RM19 bilion bayaran balik GST

Walau bagaimanapun, semua cadangan beliau ini sudah terlambat kerana Dewan Rakyat telah mengundi untuk memansuhkan GST.

Beliau berkata kebiasaannya pembayaran balik GST ditunda atau ditahan kerana dokumentasi yang dikemukakan oleh syarikat tidak lengkap atau disyaki berlaku penipuan.

Bekas anggota parlimen Titiwangsa itu juga mempertikaikan dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa terdapat kekurangan RM19.248 bilion dalam Tabung Bayaran Balik GST, yang pada dasarnya menyebabkan kelewatan dalam membayar kredit cukai input.

Menjawab soalan, Johari berkata wang itu "100 peratus tidak hilang".

Beliau berkata prosedur kerajaan memerlukan semua hasil termasuk GST untuk diletakkan di dalam Kumpulan Wang Disatukan di mana ia digunakan untuk perbelanjaan awam seperti yang diluluskan oleh parlimen melalui rang undang-undang perbekalannya.

Sekumpulan penjawat awam akan memutuskan berapa banyak wang yang diperlukan dalam akaun amanah untuk membuat pembayaran setiap bulan dan kemudian memohon wang itu daripada kumpulan dana yang disatukan.

"Bila you nak masuk ke dalam tabung amanah, you have to be specific. Bermakna claim ini dah finalise, dah confirm lulus these are the claim yang kena bayar, maka ini duit yang kena masuk ke dalam tabung amanah.

"Of course. Kalau tidak, orang semua main claim claim claim claim, you ambil duit semua masuk ke dalam tabung amanah, untuk apa duduk dalam itu?" Soalnya.

Jika diberi peluang, beliau berkata beliau akan meminta jabatan kastam menjelaskan berapa banyak tunggakan dalam pembayaran balik GST telah ditahan kerana dokumentasi yang tidak lengkap atau penipuan yang disyaki.

Lihat Komen
ADS