Paling Popular
Terkini

ULASAN | Pascapilihan raya umum (PRU) ke-14, khususnya menjelang pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia, tiada banyak keperluan bercakap tentang Umno terutama orang-orang politik yang bukan Umno. Apa lagi mempolitikkan Umno.

Jika orang bukan PAS hendak meluahkan geramnya kepada Umno, biarkan.

Tetapi orang PAS tidak perlu lagi menumpukan perhatian kapada Umno, kecuali menjelaskan jika ada pemimpin Umno membuat kenyataan tidak tepat tentang PAS.

Itupun sekadar penjelasan. Bukan berpolitik seperti dahulu.

Selain daripada Umno itu rakan sepembangkang, Umno sudah jadi sejarah dan biarlah Umno diserahkan kepada ahli sejarah dan orang akademik. Biar mereka bincangkan demi akademik.

Tidak nampak dalam waktu yang terdekat ini Umno boleh kembali berkuasa sekalipun pimpinannya nanti diambil oleh Khairy Jamaluddin, kecuali 90 peratus pengundi Cina dan India membuat pusingan U.

Jika ahli-ahli sejarah memerlukan pandangan PAS bagi melengkapkan kajian mereka, maka PAS wajar beri kerjasama.

Jangan bawa Najib

Bagi tujuan politik matang dan sejahtera dan memastikan PAS jadi parti politik masa depan, perhatian perlu ditumpukan kepada kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan parti sekutunya.

Perhatian itu bagi memastikan wujud kerajaan yang sihat demi negara dan rakyat, dan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab perlu HARAPAN dan kerajaan dikekang daripada mengulangi kerosakan BN selama 60 tahun lalu.

Masa perlu ditumpukan ke situ.

Adapun yang ada selepas ini kita ambil yang positif saja. Terutama apabila dalam PRK Umno dan PAS tidak terlibat dalam tiga penjuru seperti di Seri Setia pada 8 September nanti.

Majlis Syura sudah menetapkan, elakkan pertandingan tiga penjuru. Biar satu lawan satu antara parti kerajaan dan pembangkang.

Jika Umno bertanding, tidak perlu orang PAS kata sokong atau tidak sokong Umno. Katakan PAS selagi ia pembangkang ialah sentiasa bersama pembangkang dahulu dan akan datang.

Apabila PAS tidak bertanding, undinya adalah untuk pembangkang.

Apabila Umno tidak bertanding, kita percaya Umno tidak akan memberi undi kepada calon HARAPAN. Maka undi Umno dialu-alukan. Kerana kita bertanding untuk menang, maka undi Umno itu kita mahu.

Jangan ada pula penyokong PAS kata kita tidak perlu undi Umno. Kita alu-alukan jika pemimpin Umno datang membantu kempen. Cuma kalau Datuk Seri Najib Razak tidak perlu datang kerana pada masa ini dia adalah liabiliti.

Kecuali PRK itu di Kelantan dan Terengganu yang selamanya PAS bertanding di semua kerusi. Umno juga demikian. Payah difikirkan PAS dan Umno tidak berlawan sama sendiri.

Oleh kerana itu kita dapat mengagak secara tepat apakah Umno boleh bertahan lama atau tidak. Untuk kembali berkuasa, suatu perkara yang payah. Dalam suasana sebegini kita tidak perlu buat perkara yang boleh menjauhkan Umno dari PAS.

Banyakkan kerja yang boleh mendekatkan orang Umno kepada PAS. Apabila mereka berasa tidak mahu terus dengan Umno, jangan ia memilih parti lain selain daripada PAS.

Rata-rata Umno getik dengan LGBT sedang HARAPAN mesra dengannya. Maka yang dekat di hati Umno ialah PAS, bukan HARAPAN.

Dalam keadaan yang ada, Umno seolah-olah tinggal satu anak tangga sahaja lagi untuk jadi PAS. Kata Tuan Guru Presiden PAS, ketika ada penyakit fobia Islam, masa ini jangan orang PAS fobia pula pada Umno.

Tiada untungnya berlawan dengan Umno sekarang, kerana lawan bertukar kepada Pakatan Harapan.


SUBKY LATIF ialah wartawan veteran dan bekas anggota Jawatankuasa Pusat PAS. Tulisan ini disiarkan kali pertama di harakahdaily dengan judul Tiada Untung Berlawan Dengan Umno Sekarang.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS