Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menarik balik permit mengajar dua guru yang didakwa mendera anak jagaan mereka di sebuah tadika di Melaka.
Pengusaha tadika itu pula diberi amaran keras susulan kecuaian operasi, menurut kenyataan KPM.
Menurut kementerian lagi, keputusan itu diambil setelah siasatan awal dijalankan.
"KPM mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka untuk memantau pengurusan dan pengoperasian tadika semasa sesi pembelajaran berlangsung," menurut kenyataan itu lagi.
Semalam, polis mengesahkan dua guru berusia 21 dan 40 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes kekasaran terhadap kanak-kanak jagaan mereka.
Tangkapan dilakukan sejurus pengurus tadika membuat laporan polis pada 11 Ogos lalu selepas menerima video yang dipercayai dirakam dan disebarkan seorang pekerja yang sudah berhenti.
Siasatan dijalankan bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.
Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, KPM berkata mereka memandang serius kejadian yang tular itu.
Pantau, kata exco
Sementara itu, Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Ehwal Kebajikan, Ginie Lim turut menggesa supaya tenaga pengajar tadika harus dipantau.

“Pengusaha tadika bukan sahaja perlu memastikan tenaga pengajar bersijil tapi harus memantau prestasi kerja mereka.
“Pengajar yang tidak profesional harus diambil tindakan awal dan segera agar keselamatan kanak-kanak terjamin,” kata Lim di Facebook selepas melawat tadika itu.
Katanya, walaupun tadika tidak tertakluk kepada mana-mana akta bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, beliau telah meminta badan itu menawarkan sesi kaunseling kepada kanak-kanak serta keluarga jika perlu.
Beliau dan pegawai JKM melawat tadika itu petang semalam.
Video itu antaranya memaparkan bagaimana guru mengasari kanak-kanak, termasuk menampar dan menolaknya di muka sehingga jatuh dari kerusi.
Video sepanjang 0.37 saat dan 2.12 minit itu mula tersebar sejak minggu lalu.
