Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M akui kesuntukan masa penuhi janji manifesto
Diterbitkan:  Aug 14, 2018 8:33 PM
Dikemaskini: 12:36 PM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa Pakatan Harapan (HARAPAN) kesuntukan masa untuk menunaikan janji manifesto yang dibuat dengan tidak menjangkakan gabungan itu betul-betul akan menang.

Bagaimanapun, kata Dr Mahathir, gabungan itu kini perlu melakukan yang terbaik untuk memenuhi janji berkenaan atau mencari penjelasan yang sesuai bagi janji yang tidak dapat dipenuhi.

Perdana menteri itu berkata demikian ketika bercakap di hadapan pemimpin HARAPAN dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) dalam majlis makan malam di Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Beberapa sumber yang hadir di majlis itu memberitahu Malaysiakini bahawa Dr Mahathir turut mengingatkan kemungkinan akan terjadi ketidakpuasan hati di kalangan rakyat.

"Sebenarnya kita tidak jangka untuk menang, kita buat manifesto tebal dengan pelbagai janji... Kita perlu penuhi janji itu, sebab itu kita tidak boleh buat janji yang kita tidak boleh penuhi.

"Kita perlu berkorban untuk penuhi janji kita. Jika kita tidak dapat penuhi kita perlukan sebab yang bagus yang boleh diterima rakyat.

"Jika tidak, jika kita gagal menunaikan janji kita, pembangkang akan gunakannya (untuk mengkritik) dan kita mungkin akan kalah (dalam pilihan raya umum akan datang)," katanya seperti dipetik sumber.

Dr Mahathir memberikan contoh janji HATAPAN untuk menjadikan ketua pembangkang setaraf dengan menteri.

Beliau berjenaka dengan berkata bahawa janji itu dibuat dengan jangkaan HARAPAN akan menjadi pembangkang.

"Tapi kita menang dan kita rasa tidak selesa untuk jadikan ketua pembangkang setaraf dengan menteri.

"Itu masalahnya bila kita berjanji," kata Dr Mahathir.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS