Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Sabu: Isu integriti tidak akan dikompromi
Diterbitkan:  Aug 15, 2018 12:19 PM
Dikemaskini: 6:16 AM

Mohamad Sabu berkata beliau tidak akan berkompromi dalam soal integriti terutama apabila melibatkan kementerian yang diketuainya.

Menurut Menteri Pertahanan itu beliau mengalu-alukan siasatan dilakukan ke atas kakitangan kementerian berkenaan.

Malah katanya sikap terbuka itu juga kekal walaupun siasatan dibuat terhadap petugas di pejabatnya.

"Saya juga bersedia memberikan komitmen dan kerjasama penuh kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Bagi saya, tiada kompromi dalam soal integriti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan seorang pegawai kanan Mohamad disiasat ekoran dakwaan dia menerima wang kira-kira RM800,000 daripada beberapa pihak untuk membantu menyelesaikan hutang serta membebaskannya daripada status muflis.

Melalui laporan eksklusif itu Malaysiakini mendedahkan pegawai terbabit diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi kira-kira empat tahun lalu dan kekal sehinggalah penghujung Mei lalu.

Siasatan awal mendapati beberapa bayaran dikatakan dimasukkan ke akaun jabatan itu oleh beberapa pihak.

“Didakwa bayaran itu dibuat bagi pihaknya hanya beberapa hari selepas Mohamad mengangkat sumpah sebagai menteri pertahanan,” kata sumber.

Selain suspek, 10 lagi individu turut dirakamkan kenyataan masing-masing, termasuk beberapa kontraktor pertahanan dan wakil-wakil perniagaan.

Mohamad berkata jika siasatan mendapati ada kes yang boleh dibawa ke mahkamah, langkah berkenaan akan dialu-alukan.

"Sekiranya terdapat apa-apa kes, SPRM bolehlah mendakwa individu yang terlibat mengikut saluran undang-undang sedia ada," katanya.

Lihat Komen
ADS