Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pelan Pembangunan Pendidikan turut fokus kemahiran bahasa Arab
Diterbitkan:  Aug 16, 2018 12:03 PM
Dikemaskini: 4:10 AM

Memperkasa keupayaan dan kemahiran menguasai pelbagai bahasa, termasuk Bahasa Arab, dalam kalangan pelajar di negara ini menjadi antara fokus utama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Ketua Sektor Pembangunan Profesionalisme dan Penyelidikan Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Shamsul Shah Tarja berkata bagi tujuan ini, platform Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) disediakan untuk memudahkan para guru menyediakan bahan bantuan mengajar berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Sekarang sekolah-sekolah sudah ada platform VLE, jadi guru-guru di sekolah akan menggunakan platform ini untuk mengajar, cuma pengisiannya adalah pembelajaran Bahasa Arab.

"Dengan itu, pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab akan menjadi lebih ceria dan menyeronokkan," katanya kepada Bernama semasa menghadiri wacana Pedagogi Pengajaran Bahasa Arab Abad ke-21 anjuran Bahagian Pendidikan Islam KPM dengan kerjasama ISESCO Malaysia di SMKA Falahiah Pasir Pekan, Kelantan baru-baru ini.

Beliau berkata masyarakat kini melihat keperluan belajar Bahasa Arab dari segi nilai komersialnya, dan bukan lagi terhad kepada memahami al-Quran dan kitab-kitab agama.

"Contohnya, para pelajar yang pernah belajar bahasa ini boleh menjadi pemandu pelancong… kalau dilihat dari segi pasaran, mereka boleh bekerja di negara-negara Arab dalam sektor pengeluaran minyak, penerbangan dan sebagainya.

"Oleh itu, kita mahu memperkasa keupayaan mereka kerana mereka ini dapat lebih daripada dua bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan sekarang mereka ada Bahasa Arab," katanya.

Pada 2011, KPM telah melancarkan kajian semula sistem pendidikan negara secara menyeluruh dalam usaha membangunkan PPPM yang baharu.

Pelan itu menggariskan 11 anjakan utama untuk mentransformasi sistem pendidikan negara, dan ini termasuk usaha memastikan setiap murid mahir menguasai Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris serta menggalakkan mereka mempelajari bahasa asing lain sebagai tambahan.

Mengulas wacana itu, Shamsul Shah berkata objektif yang difokuskan ialah mempertingkat keupayaan guru Bahasa Arab sama ada di sekolah rendah, sekolah menengah atau sekolah lain di bawah kementerian dalam melaksanakan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPC) menerusi platform VLE.

"Sekarang semuanya berasaskan ICT dan sebab itu, fokus wacana kali ini ialah bagaimana guru-guru boleh mendapatkan bahan dan maklumat daripada teknologi ini… ia berkisar tentang pengajaran dalam abad ke-21 dan bagaimana nak mengajar Bahasa Arab sesuai dengan keperluan masa depan," katanya.

Sementara itu, Pengarah ISESCO Malaysia Dr Razif Zaini berkata secara keseluruhan, beliau melihat program itu sebagai satu inisiatif yang baik serta menegaskan bahawa pihaknya menyokong penuh usaha ke arah perkembangan dan pemantapan Bahasa Arab, khususnya melalui medium pendidikan.

"Kami akan teruskan kerjasama kami dengan pihak KPM… pihak ISESCO sentiasa komited dalam usaha meningkatkan pemantapan Bahasa Arab.

"Kami juga menyeru kepada semua pihak untuk bersama kami dalam meningkatkan status Bahasa Arab, khususnya di Malaysia dan juga rantau Asia Tenggara," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS