Sebanyak 51,147 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dicatat di seluruh negara sejak 1 Jan hingga 14 Ogos, persidangan Dewan Rakyat diberitahu, hari ini.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata kes HFMD di Malaysia, bagaimanapun tidak 'seganas' beberapa negara lain seperti di China yang mencatatkan kadar kematian tinggi akibat penyakit itu.
"Itulah sebabnya penting supaya lima perkara utama diberi perhatian iaitu penjagaan kebersihan diri, amalan mencuci tangan yang betul, penjagaan kebersihan persekitaran, saringan di pintu masuk premis dan disinfeksi permukaan yang tercemar bagi menangani HFMD," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (DAP-Bandar Kuching) mengenai jumlah kes HFMD di Sarawak dan langkah pencegahan termasuk kriteria yang digunakan untuk menilai sama ada taska atau tadika perlu ditutup disebabkan penyakit itu.
Di Sarawak, Dzulkefly berkata sebanyak 6,209 kes HFMD dicatatkan dengan majoriti dilaporkan di Kuching iaitu 1,387 kes dalam tempoh 1 Jan hingga 14 Ogos 2018.
Sementara itu, beliau berkata penutupan premis taska, tadika, tabika atau prasekolah hanya akan dilakukan sekiranya berlaku wabak HFMD di premis itu.
Dzulkefly berkata kes HFMD diklasifikasi sebagai wabak sekiranya terdapat dua atau lebih kes di premis itu dalam tempoh inkubasi HFMD.
"Penutupan premis akan dilakukan untuk tempoh 10 hari dari tarikh onset kes HFMD terakhir dikesan di premis sama. Premis yang dimaksudkan adalah merujuk kepada bilik darjah di mana kes tersebut dikesan," katanya.
Langkah penutupan itu adalah untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan kepada kanak-kanak lain serta bagi membolehkan pengusaha premis menjalankan proses basmi kuman, khususnya alatan mainan serta permukaan tercemar termasuk lantai dan meja.
- Bernama
