Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau masih memerlukan khidmat Majlis Penasihat Kerajaan untuk membantu kerajaan menyelesaikan pelbagai perkara.

Menafikan khabar angin majlis itu akan dibubarkan hujung minggu ini apabila pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) mencapai 100 hari, Dr Mahathir berkata beliau tidak pernah berkata majlis itu hanya berperanan untuk tempoh itu.

"Ada yang merasakan Majlis Penasihat Kerajaan akan ditamatkan, tetapi saya belum buat keputusan.

"Saya tidak ada cakap apa-apa tentang 100 hari (untuk tempoh majlis itu). Saya masih perlukan khidmat mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur hari ini.

Ketika ditanya sama ada wujud garis masa untuk majlis itu, beliau berkata "sehingga kita selesaikan banyak masalah."

"Saya sendiri tidak boleh melakukan semuanya," katanya.

Beliau ditanya sama ada Majlis Penasihat Kerajaan - yang ditubuhkan antaranya untuk membantu kerajaan mencapai janji 100 hari - akan dibubarkan selepas sampai tempoh itu.

Antara janji tersebut adalah memansuhkan GST, menyamaratakan gaji minima dan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat pelbagai skandal.

Penubuhan majlis itu diumumkan pada 12 Mei lalu, dua hari selepas Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh.

Ia dipengerusikan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin dan dianggotai bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas pengerusi Petronas Tan Sri Hassan Marican, ahli ekonomi Jomo Kwame Sundaram dan hartawan Tan Sri Robert Kuok.

Bagaimanapun kenyataannya bahawa majlis itu tidak semestinya terbubar selepas 100 hari bertentangan dengan laporan media berhubung kenyataannya pada 12 Mei lalu.

Beberapa media, termasuk Berita Harian dan The Edge, memetiknya sebagai berkata majlis itu akan membantu kerajaan untuk membentuk dasar dan program untuk mencapai janji 100 hari kerajaan, dan ia juga tempoh masa bagi kewujudannya.

Lihat Komen
ADS