Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS selar pengerusi Suhakam kerana pertahan pasangan lesbian

PAS memberi amaran akan mengheret Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ke mahkamah atas tuduhan menghina kerana mengecam keputusan Mahkamah Syariah yang menjatuhkan hukuman ke atas dua wanita kerana melakukan hubungan sejenis.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menggesa Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail untuk menarik balik kenyataan suruhanjaya itu semalam, yang membidas sabitan itu sebagai hukuman tidak berperikemanusiaan dan satu bentuk penyeksaan.

"Mahkamah Tinggi Syariah di Terengganu mensabitkan dua wanita kerana cuba melakukan hubungan sejenis. Dari maklumat yang kami perolehi, kedua-dua wanita mengaku bersalah di mahkamah," katanya.

"Mereka dituduh di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) di mana mahkamah dibenarkan menjatuhkan hukuman maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan rotan," katanya.

Menurut pemimpin PAS itu, wanita berkenaan, masing-masing dikenakan denda RM3,300 dan enam sebatan, yang adalah dalam bidang kuasa mahkamah syariah.

"PAS menolak dan membantah penghinaan mahkamah oleh pengerusi Suhakam itu," kata Takiyuddin yang adalah Ahli Parlimen Kota Bharu.

"Sekiranya dia tidak menarik balik kenyataan itu, mungkin kita akan melakukan sesuatu," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, sebagai wakil rakyat beragama Islam, pihaknya sekeras-kerasnya menolak, mengutuk dan mengecam tindakan Razali.

“Apabila mahkamah jatuhkan hukuman, kita orang biasa tidak boleh mempersoalkan selagi mana hukuman dijatuhkan itu berada dalam lingkungan undang-undang.

“Kenyataan ini tidak wajar dikeluarkan oleh Suhakam kerana ini membabitkan hak asasi orang Islam yang tidak dipaksa kepada orang bukan Islam.

“Dalam kes ini, orang yang dituduh dan dihukum adalah orang Islam,” katanya.

Takiyuddin turut mempersoalkan kenyataan Razali mempertikai hukuman sebat terhadap pasangan terbabit.

“Ini rotan syariah. Kami tidak bersetuju dengan pandangan pengerusi Suhakam menyifatkan tindakan sebatan syariah sebagai kejam, mendera dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS