Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) tidak akan bergerak ke depan jika jawatan ketua pengarah diberikan kepada mereka yang bakal bersara atau sebab lain, kata sumber.
Sumber itu, yang memegang jawatan kanan dalam agensi berkenaan, mempersoalkan sama ada AADK adalah tempat "mencampak" mereka yang sudah berada di hujung kerjaya.
Sumber berkenaan memberi respons kepada pelantikan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah sebagai ketua pengarah AADK yang baru.
me"Adakah pegawai AADK tak ada yang layak untuk menerajui agensi ini? Kalau tengok rekod sejak 2008... semua mereka ini dalam tempoh berpencen," kata sumber itu.
Sumber itu juga mendakwa Menteri Dalam Negeri dan ketua setiausaha kerajaan meminggirkan agensi berkenaan.
Setiap kali pelantikan ketua pengarah baru, kata sumber itu, dasar dan fungsi agensi itu akan diubah.
"Tiada usaha berterusan dari dasar sebelumnya, pendekatan, program dan visi untuk menghalang dan memulihkan penagih dadah.
"Ketua pengarah baru yang dilantik bagi jawatan itu berada di penghujung kerjaya atau sebagai hukuman hanya akan berikan perkhidmatan ala kadar sekadar nak menunggu pencen," kata sumber lagi.
Selain itu, sumber turut menyorot bahawa ketua pengarah yang dibawa dari luar tidak mempunyai kepakaran atau pengalaman untuk berurusan dengan perkara tugas agensi berkenaan.
Justeru, sumber itu merayu agar Menteri Dalam Negeri mempertimbangkan keputusan dan melantik individu yang berkelayakan bagi jawatan berkenaan.
"Ketua setiausaha negara perlu sensitif dalam memastikan kesesuaian individu itu untuk menjadi ketua pengarah. Bukan main tangkap muat saja.
"Ia akan memberi kesan kepada fungsi, tanggungjawab, visi, misi dan pencapaian matlamat penubuhan AADK seperti yang dihasratkan dalam Akta AADK 2004," katanya.
Sumber itu juga pelantikan seperti yang ada akan menjejaskan moral kakitangan AADK.
"Kita risau pegawai-pegawai AADK pun buat kerja dengan tidak sepenuh hati, terpaksa dan penuh dengan lakonan sebagai bantahan kerana ketidakpuasan hati terhadap pelantikan ketua pengarah yang dibuat secara tangkap muat," katanya.
Sebelum ini, Malay Mail melaporkan pelantikan Zulkifli itu adalah atas arahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Zulkifli pula menyatakan rasa terkejut dengan pelantikannya namun menganggap ia sebagai penghormatan untuk menerajui AADK.
