Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes periuk nasi logo BN: Shahidan berhasrat selesaikan saman

Peguam kepada bekas menteri di JPM, Datuk Seri Shahidan Kassim memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau dan dua kakitangan pejabat Umno Perlis berhasrat untuk menyelesaikan kes saman yang difailkan terhadap mereka oleh seorang ahli perniagaan mengenai kontrak periuk nasi.

Hilwa Bustam yang mewakili Shahidan berkata susulan itu, mahkamah menetapkan Jumaat depan untuk pendengaran.

"Kami sedang melihat sama ada boleh atau tidak kita menyelesaikan perkara ini (saman), kita akan berusaha ke arah itu pada Jumaat depan," katanya.

Hilwa berkata Shahidan tidak hadir pendengaran hari ini kerana beliau berada di Hospital Kuala Lumpur.

Peguam itu awalnya bertemu Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam kamar mahkamah bersama peguam yang mewakili ahli perniagaan berkenaan.

Peguam Lavinia Kumaraendran dan Cassandra Lee yang mewakili ahli perniagaan Florence Lee Jye Wen memberitahu pemberita pihak defendan telah membayar baki 6,000 periuk nasi yang dipesan itu.

"Bagaimanapun, mereka tidak membayar kos-kos (lain) termasuklah penyimpanan periuk nasi itu. Kami akan menunggu jika hal ini dapat diselesaikan menjelang Jumaat minggu hadapan," katanya.

Dakwaan langgar janji

Lee menyaman Shaidan bersama Anggota Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin yang pada ketika itu menjadi setiausaha Umno Perlis dan Bendahari Umno Perlis Rozabil Abdul Rahman kerana melanggar kontrak mengenai pesanan 60,000 periuk nasi.

Lee mendakwa pada tiga tahun lalu, Umno Perlis memesan 60,000 periuk nasi bersaiz 1.8 liter yang berlogo Umno dan BN dengan singkatan DSSK yang merujuk kepada Shahidan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 16 April di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Lee mendakwa beliau ditemui oleh wakil jualan yang menyebut Umno Perlis berminat membeli periuk nasi yang diletakkan logo Umno dan kependekan nama Shahidan.

Seunit periuk nasi itu dikatakan dijual dengan harga RM74 – lebih murah berbanding harga pasaran RM107 – dengan setiap 20,000 unit akan diedarkan untuk kawasan parlimen Arau, Padang Besar dan Kangar.

Jumlah keseluruhan jualan itu mencecah angka RM4.4 juta.

Bagaimanapun, katanya 8,000 unit masih tidak diambil sehingga ke hari ini menyebabkan beliau rugi sebanyak RM592,000.

Dia juga menuntut ganti rugi khas RM36,511.40 untuk kos menyimpannya dan RM2,750.35 kerana terpaksa menyimpan periuk nasi itu tanpa dapat menjualnya akibat label tertera padanya.

Lee juga menuntut ganti rugi am dengan jumlah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS