Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibrahim Ali tubuh Parti Bumiputera Perkasa Malaysia

Datuk Ibrahim Ali hari ini secara rasmi mengumumkan penubuhan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia atau PUTRA.

Ia akan diketuai olehnya sendiri selaku presiden. Timbalan presiden pula Tan Sri Yunus Khalid, bekas pengerusi MARA dan bekas anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno.

“Dengan lafaz bismillah saya mengumumkan penubuhan parti baru dengan nama Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan berlambangkan logo tanjak,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Ibrahim yang juga bekas presiden PERKASA berkata, keputusan itu dibuat setelah beliau didesak pelbagai pihak yang tidak puas hati dengan keadaan semasa negara terutama dalam hal-hal berkaitan bumiputera yang menurutnya "dalam keadaan yang cukup bercelaru".

"Beberapa bulan lalu, saya dan Tan Sri Khalid diundang banyak pihak, sama ada dari tokoh parti tertentu, ahli akademik, NGO dan golongan anak muda.

"Mereka meluahkan perasaan mereka terhadap apa yang berlaku dalam negara hari ini.

"Maka selepas banyak pertemuan dan maklum balas daripada mereka, terhasil muafakat untuk menubuhkan parti baru ini," katanya lagi.

Beliau berkata telah membuat pendaftaran secara atas talian dan menghantar dokumen yang diperlukan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 13 Ogos lalu, dan kini sedang menunggu maklum balas.

Pada PRU ke-14, beliau yang mesra dengan panggilan Tok Him melakukan percubaan untuk kembali ke arena politik apabila bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Pasir Mas, tetapi hanya berjaya mendapat 5,373 daripada 71,222 undi.

Pada 17 Ogos lalu, beliau meletakkan jawatan sebagai presiden PERKASA selepas mengetuainya sejak mengasaskannya pada 2008.

Sebelum ini beliau lantang mengkritik Pakatan Harapan - termasuk selepas penubuhan dan penyertaan BERSATU - yang menurutnya tidak mengutamakan golongan bumiputera.

Pada masa sama, beliau juga dilihat menjauhkan diri daripada Umno serta mengkritik Datuk Seri Najib Razak sekitar isu 1MDB.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata keanggotaan PUTRA terbuka kepada orang Melayu-Islam dan bumiputera.

Beliau bagaimanapun tidak menyasarkan keanggotaan yang tinggi tetapi berharap setiap DUN seluruh negara memiliki sekurang-kurangnya 500 anggota.

“Dalam parti baru ini kita memberi penekanan kepimpinan diperingkat akar umbi adalah golongan marhean.

“Ertinya, mungkin ketua bahagian terdiri daripada ketua warung kedai kopi, nelayan, petani, penarik beca, mat rempit sekali pun boleh jadi ketua bahagian parti kita,” katanya lagi.

'Anwar, Dr M jangan bergaduh lagi'

Mengulas perkembangan lain, Ibrahim menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad supaya kekal sebagai perdana menteri untuk satu penggal penuh dan bukannya dua tahun seperti yang diperkatakan.

Namun pada masa sama, beliau berkata Mahathir "jangan mengada-ngada" untuk kekal lebih lama dari tempoh itu.

"Jangan nak mengada-ngada, beliau kena rehat dan biar Anwar ganti," katanya.

Bagaimanapun beliau mencadangkan Anwar untuk tidak terus menjadi perdana menteri, sebaliknya menjadi timbalan kepada Mahathir terlebih dulu.

"Bila Anwar menjadi anggota parlimen, lantik beliau jadi timbalan, bersama dan bekerja dengan Mahathir.

"Mahathir perlu diberi peluang setidaknya sepenggal, jangan dua tahun. Selepas PRU ke-15 Mahathir letak jawatan dan Anwar naik.

"Jangan bergaduh lagi macam dulu, saya pun jadi mangsa. Lepas (bergaduh) mereka meminta maaf (dan berbaik), kita yang mampus," katanya merujuk kepada pemecatan Anwar daripada kerajaan dan Umno pada 1998.

Lihat Komen
ADS