Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN l Hari ini genap 100 hari manifesto PRU14 Pakatan Harapan (HARAPAN), yang sebahagian besarnya tidak tertunai. Seperti yang diduga, isu ekonomi negara masih dimainkan sebagai helah kerajaan untuk menangkis kritikan rakyat.

Justeru itu, tidak seperti kebanyakan kerajaan di negara lain yang biasa akan meraikan kejayaan 100 hari memerintah. Namun di Malaysia tiada sebarang acara diadakan oleh kerajaan HARAPAN bagi meraikan 100 hari mereka. Semua ini kerana tiada apa kejayaan besar yang dicapai untuk dibanggakan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tempoh lima tahun tidak cukup untuk 'memperbaiki kerosakan' yang ditinggalkan Kerajaan BN.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pula berkata dengan angkuh bahawa HARAPAN tidak perlu meminta maaf di atas kegagalannya menunaikan janji yang terkandung di dalam manifesto.

Semua kenyataan ini adalah alasan dan jelas mengambarkan kegagalan kerajaan HARAPAN melunaskan janji mereka. Persoalannya, apakah tempoh 22 tahun Dr Mahathir ketika menjadi perdana menteri keempat mencipta kejayaan tanpa cacat-cela?

Bukankah tempoh dan pengalaman beliau yang begitu lama mentadbir Malaysia sepatutnya sudah cukup membantu beliau melunaskan janji 100 hari HARAPAN?

Jadi kegagalan ini juga membuktikan bahawa mentadbir negara tidak boleh dilaksanakan berseorangan dan ianya memerlukan pasukan yang kuat.

Keliling PM tiada pengalaman

Maka, ketidakupayaan kerajaan HARAPAN melunaskan janjinya juga kerana perdana menteri dikelilingi kebanyakannya oleh mereka yang tidak berkebolehan serta tidak berpengalaman.

Kenyataan timbalan perdana menteri pula adalah tanda mereka tidak berterima kasih kepada rakyat yang memilih mereka.

Hakikatnya ramai yang mengundi kerajaan HARAPAN menanti dan menagih segala janji.

Namun tol tidak dihapuskan, hutang peneroka Felda gagal dihapuskan, janji PTPTN gagal ditunai, harga komoditi seperti minyak sawit merudum dan menghimpit peladang terbabit dan tiadanya penurunan harga minyak ketika harga dunia menurun, adalah hal yang merungsingkan rakyat.

Golongan nelayan pula terus dihimpit keresahan dengan hilangnya elaun manakala rakyat miskin makin menghadapi kesukaran untuk hidup dengan janji kosong HARAPAN.

Lebih malang tiada perancangan atau hala tuju yang jelas bagaimana kerajaan HARAPAN mahu membantu serta menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi

Kebimbangan rakyat juga ialah apabila kerajaan HARAPAN tidak begitu serius menanggani kesan kenaikan harga barang. Kesan langsungnya terkena kepada mereka yang berpendapatan rendah dan pekebun kecil.

Kuasa beli mereka semakin kurang akibat pendapatan semakin terjejas. Kesan ketidakcekapan mentadbir ekonomi kini menghimpit kehidupan rakyat sedangkan menyelesaikan isu kos sara hidup juga adalah janji 100 hari mereka.

Perkara yang jelas ialah sikap menyalahkan kerajaan terdahulu bagi menutup kelemahan kerajaan HARAPAN.

Sikap begini tidak boleh berterusan kerana rakyat mahu lihat bagaimana polisi dan dasar baru yang melegakan rakyat dilaksanakan oleh kerajaan HARAPAN hari ini. 100 hari telah berlalu, apakah hari berikutnya pentadbiran kerajaan HARAPAN akan terus begini?

Pendekatan baru yang dilihat oleh rakyat ialah apabila banyak u-turn kerajaan lakukan, contohnya ke atas projek HSR dan ECRL. Semua ini juga dilihat sebagai kelemahan dalam mentadbir pembangunan negara.

Kesannya boleh dilihat umpamanya, apabila wakil perdana menteri yang dihantar ke China dilihat gagal meyakinkan mereka sehingga Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terpaksa merangka lawatan sekali lagi ke China.

Semua ini merugikan rakyat jika kuasa besar seumpama China dilihat tidak lagi berminat kepada negara ini. Kesan jelas apabila berlaku kejatuhan harga komoditi apabila China difahamkan menghenti pembeliannya daripada Malaysia.

'Jawapan matematik' projek kerajaan

Melihat kepada situasi begini, sebenarnya ramai pihak bimbang dan merasa amat pelik kerana sejak memerintah, kerajaan belum pun mengumumkan pakej rangsangan ekonomi dan pelaburan, yang menyaksikan pasaran saham terumbang-ambing dan nilai ringgit terus merudum.

Justeru itu di pihak pembangkang, kita mahu melihat penjelasan matematik terhadap semua angka yang diberikan, dan bukan sekadar angka tangkap muat kepada semua persoalan mengenai projek yang dibatal atau ditangguhkan. Sebagaimana diamalkan oleh Menteri Kewangan kerajaan HARAPAN, Lim Guan Eng.

Persoalannya, di mana ahli ekonomi HARAPAN yang menjalankan penyelidikan semula kos tol, HSR, ECRL serta projek lain?

Rakyat mahukan 'mathematical answer' terhadap semua ini, terutama kononnya hutang RM1.4 trilion kerajaan, LRT3 dan yang lain. Perkara ini penting untuk meningkatkan keyakinan peniaga, pelabur luar dan bukan semata rakyat Malaysia.

Semua pihak perlu diyakinkan bahawa penghapusan GST yang digantikan dengan SST akan membawa kebaikan.

Jadi bagaimana perkiraan Lim Guan Eng bahawa negara tidak akan kekurangan sumber kewangan akibat perubahan sistem percukaian ini. Perkara penting seperti ini amat mempengaruhi keadaan ekonomi negara dan tidak boleh diambil mudah oleh kerajaan HARAPAN.

LGBT makin berani, cabuli peraturan Islam

Seterusnya, bagaimana janji-janji HARAPAN yang lain. Golongan LGBT makin berani menuntut hak dan mencabuli peraturan Islam, manakala tuntutan komponennya agar UiTM dibuka kepada bukan Melayu dibiarkan menjadi kemelut keresahan orang Melayu.

Kerajaan HARAPAN perlu membuktikan keupayaan memerintah. Menteri kewangan yang menjaga khazanah negara mesti mengubah sikap dan cara bekerja. Menyalahkan dan menimbulkan persepsi serta membuat tuduhan kepada kerajaan terdahulu tanpa asas bukan cara bekerja yang baik bagi seorang Menteri penting kepada sebuah kerajaan.

Dalam tempoh 100 hari nilai ringgit Malaysia jatuh menjunam. Jumlah aliran keluar wang tunai dan pelaburan dalam negara semakin membimbangkan.

Situasi ini yang perlu menteri kewangan selesaikan namun setakat ini sangat jelas beliau nampaknya sangat gagal dan buntu dalam mencari jalan keluar kepada masalah ini.

Kesan kegagalan ini bukan hanya merugikan mereka yang mengundinya sahaja tetapi juga kepada banyak pihak.

Hakikatnya, kerajaan dilihat bukan hanya gagal menunaikan 10 janji 100 hari, sebaliknya juga telah mencipta pelbagai kelemahan lain serta menumpukan perkara lain umpamanya meluluskan RM25 Juta kepada Formula One ( F1 ) yang nyata tidak memberikan keuntungan kepada rakyat berpendapatan rendah terutama di luar bandar yang sepatutnya diberikan perhatian.

Saya berharap kerajaan HARAPAN dapat melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.

Kegagalan janji 100 hari HARAPAN jangan disambung dengan pelbagai kegagalan yang lain kerana semua ini akan merugikan rakyat dan negara.

Hakikatnya kerajaan BN telah mewariskan yang terbaik kepada negara maka sepatutnya kerajaan HARAPAN melakukan lebih baik dari itu demi rakyat.


DATUK DR SHAMSUL ANUAR NASARAH ialah Ketua Penerangan Umno Malaysia, Anggota Parlimen Lenggong dan bekas pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS