Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan dera di SJKT Keruh: EXCO minta ibu bapa temuinya
Diterbitkan:  Aug 18, 2018 7:47 AM
Dikemaskini: Aug 20, 2018 3:52 AM

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Perak Prof Dr Abdul Aziz Bari meminta ibu bapa murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Keruh Pengkalan Hulu yang mendakwa didera secara fizikal dan seksual oleh guru tampil menemuinya.

Beliau berkata perkara itu perlu sekiranya ibu bapa terbabit masih mahu meneruskan tuduhan terhadap sekolah berkenaan yang dilakukan oleh mereka tanpa mengemukakan bukti kukuh termasuk laporan perubatan.

"Saya difahamkan ibu bapa pelajar itu tidak mahu memberi kerjasama kepada Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak apabila diminta untuk datang menyelesaikan masalah,” katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah itu semalam.

Abdul Aziz berkata berdasarkan penjelasan guru besar SJKT Keruh M. Selvarani hari ini, tuduhan tersebut adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

Justeru itu katanya beliau mencadangkan agar sekolah berkenaan mengambil tindakan undang-undang terhadap ibu bapa terbabit dan kerajaan negeri akan membantu pihak sekolah menyelesaikan masalah tersebut.

Abdul Aziz berkata pihaknya memandang serius tuduhan itu dan akan terus memantau isu tersebut sehingga selesai kerana tidak mahu sekolah atau institusi pendidikan lain diganggu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pada 7 Ogos lalu, Pejabat Penyelaras BN bagi Dewan Undangan Negeri Pengkalan Hulu menerima aduan daripada wakil pelajar berhubung dakwaan salah laku guru terhadap murid sehingga ada yang tidak berani hadir ke sekolah.

Antara dakwaan yang dibuat ialah beberapa murid sekolah berkenaan mengalami kecederaan fizikal selain gangguan emosi dan seksual yang dilakukan oleh guru sekolah berkenaan.

Dakwaan tersebut kemudian dipanjangkan kepada media oleh pejabat penyelaras terbabit menerusi aplikasi WhatsApp.

Turut dinyatakan wakil kepada ibu bapa murid yang terlibat turut membuat laporan polis.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS