Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BERSIH: Jangan ulangi kesalahan pilihan raya macam di Sg Kandis
Diterbitkan:  Aug 18, 2018 6:03 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

BERSIH menggesa semua calon yang terlibat dalam dua pilihan raya kecil (PRK) bulan depan mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan seperti di Sungai Kandis baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif BERSIH Yap Swee Seng berkata taktik mendapatkan sokongan dan undi daripada pemilih setempat perlu mematuhi peraturan pilihan raya sedia ada.

Katanya badan pendesak pembaharuan pilihan raya itu tidak mahu lagi melihat ada aset atau program kerajaan disalahgunakan sepanjang tempoh berkempen, misalnya memberikan hadiah kepada orang ramai.

"Itu semua adalah kesalahan-kesalahan pilihan raya, tetapi amalan yang sudah dilakukan sejak sekian lama memang susah untuk dihentikan.

"Bagaimanapun ia adalah isu yang perlu diberi perhatian oleh parti politik dan calon-calon.

"BERSIH berharap kesalahan yang pernah terjadi di Sungai Kandis tidak berlaku di Seri Setia dan Balakong," katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Seri Setia dan Balakong diadakan serentak pada 8 Sept ini.

Berdasarkan pemerhatian BERSIH pada PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu ada tiga kategori kesalahan yang dilakukan parti politik sepanjang tempoh 14 hari berkempen iaitu pengagihan hadiah atau sumbangan, penggunaan harta dan program kerajaan serta amalan politik perkauman serta melibatkan agama.

Guna aset kerajaan

Pegawai program BERSIH Lee Chung Lun berkata ada empat kes pengagihan hadiah direkodkan, masing-masing dua oleh BN dan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Antaranya kata Lee calon HARAPAN Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengadakan kempen pemeriksaan percuma kenderaan dan menukar minyak motor, serta program pemeriksaan kesihatan percuma.

Sementara itu Umno Pahang menganjurkan kenduri rakyat untuk calon BN, Datuk Lokman Noor Adam. Makanan percuma juga diagih-agihkan semasa parti terbabit mengadakan ceramah.

Kata Lee, lima kesalahan melibatkan aset kerajaan dikesan dan semuanya melibatkan HARAPAN.

Satu daripadanya kata Lee apabila Mohd Zawawi menghadiri beberapa program kerajaan termasuk di sebuah sekolah yang menjadi pusat pembuangan undi.

"Sejumlah pemimpin kerajaan juga menghadiri pelancaran pusat operasi parti menggunakan kenderaan rasmi," katanya.

Menurut Lee mereka yang terlibat termasuk Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar Arulanandam serta exco negeri.

Mengenai kesalahan kerana membangkitkan isu-isu perkauman dan agama, Lee berkata, ia dilakukan oleh PAS dan BN.

Insiden paling menonjol katanya ialah apabila anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang berucap dengan mendakwa Kristian sudah menguasai Putrajaya dan menggunakan kedudukan mereka untuk menyebarkan agama berkenaan.

Justeru BERSIH menggesa SPR mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang didapati melanggar peraturan pilihan raya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS