Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
15 pemimpin Umno direhatkan cerita karut, kata Annuar
Diterbitkan:  Aug 18, 2018 11:57 PM
Dikemaskini: 7:17 PM

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa menolak dakwaan partinya meminta 15 pemimpinnya untuk "berehat sementara" termasuklah Anggota Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Dalam suatu kenyataan, Annuar menjelaskan dakwaan yang dilaporkan sebuah portal berita sebagai "cerita rekaan" dan mempersoalkan motif laporan tersebut disiarkan.

"Saya ingin menegaskan bahawa perkara seperti ini tidak pernah berbangkit atau dibincangkan di mana-mana pun.

"Tiada sebarang keputusan sedemikian dibuat.

"Tiada siapa perlu dihalang hak mereka, malah kita akan terus saling sandar-menyandar dan bersolidariti sebagai satu keluarga besar Umno.

"Sudah pasti ada pihak tertentu merancang dan menyusun cerita karut ini," katanya.

Beliau berkata pengukuhan parti itu merupakan proses berterusan yang berjalan lancar dan menyatakan keyakinan Umno akan muncul lebih kuat untuk menghadapi landskap politik baru negara itu.

Pemukiman Umno di Janda Baik

Terdahulu, portal berita Malaysian Insight memetik sumber yang tidak disebut nama, mendakwa Umno memutuskan 15 pemimpinnya perlu berehat seketika dalam tempoh parti itu pulih daripada kekalahannya pada pilihan raya umum ke-14.

Sumber itu dikatakan mendakwa Najib dan Jamal berada di atas senarai berkenaan, tetapi enggan mendedahkan seluruh nama dalam senarai tersebut.

Menurut laporan itu, cadangan tersebut diutarakan dalam pemukiman Umno selama dua hari di Janda Baik dan menerima sokongan daripada majoriti peserta.

Perkara-perkara lain yang dilaporkan dibincangkan ketika pemukiman Umno itu termasuklah cadangan untuk menamatkan tradisi melantik presiden parti sebagai perdana menteri atau ketua pembangkang, tetapi tiada keputusan dibuat mengenai perkara itu.

Satu lagi cadangan yang dilaporkan pula berkaitan dengan anggota parti yang secara terbuka menyokong Pakatan Harapan semasa pilihan raya umum ke-14 dan ketua-ketua cawangan ditugaskan untuk mengenal pasti anggota tersebut serta mengemukakan nama mereka kepada jawatankuasa perhubungan negeri.

Lihat Komen
ADS