Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Hari ini sudah melepasi 100 hari Pakatan Harapan menerajui pentadbiran kerajaan persekutuan selepas BN tumbang buat pertama kali dalam sejarah kewujudannya.

Dan sehingga kini, HARAPAN terus berusaha menunaikan janji-janjinya bagi memakmurkan negara ini daripada bencana dan kerosakan yang telah dilakukan oleh kerajaan BN.

Namun demikian, dalam masa yang sama kita tidak seharusnya alpa dan lupa bahawa terdapat isu-isu yang sangat penting untuk diutamakan demi kelangsungan kepercayaan rakyat terhadap keikhlasan dan ketelusan pentadbiran HARAPAN.

Pada hemat saya, isu berkenaan nasib dan masa hadapan peneroka Felda haruslah dijadikan “agenda rasmi” negara di bawah pentadbiran HARAPAN.

Sudah pasti kita tidak mahu dilabelkan sebagai kerajaan yang jauh lebih teruk daripada kerajaan BN dalam membela nasib peneroka Felda. Isu yang melingkari warga Felda sebenarnya jauh lebih besar daripada isu 1MDB.

Ia pada bila-bila masa sahaja boleh meletup dan menyebabkan HARAPAN tidak hanya hilang kepercayaan daripada masyarakat Melayu, bahkan boleh menjatuhkan kerajaan HARAPAN jika tidak ditangani dengan segera.

HARAPAN mesti sedar terdapat 54 kawasan parlimen Felda dengan jutaan kuasa undi yang boleh menentukan kelansungan kuasa kerajaan HARAPAN.

Tidak banyak berubah

Sekarang, sudah kedengaran suara-suara warga peneroka yang membandingkan kebaikan kerajaan BN berbanding kerajaan HARAPAN dalam menjuarai kebajikan warga Felda malah lebih menggusarkan sudah terdapat dalam kalangan mereka yang mula mempertikaikan kemampuan serta janji kerajaan HARAPAN melindungi dan menyelesaikan masalah harian para peneroka yang mengundi HARAPAN dalam PRU baru-baru ini.

Dengan sokongan warga FELDA yang banyak membantu memenangkan calon-calon HARAPAN di kerusi parlimen dan DUN, sudah pastilah mereka mengharapkan nasib mereka akan lebih terbela daripada berada di bawah pentadbiran kerajaan BN, tetapi malangnya, nasib peneroka Felda masih tidak banyak berubah.

Isu utama yang wajib diberi perhatian oleh kerajaan terhadap Felda adalah berkenaan isu duit sara hidup bagi peneroka yang ladang mereka sedang dalam proses tanam semula.

Kerajaan HARAPAN mesti faham bahawa duit sara hidup ini bukanlah sebagaimana insentif yang diberi oleh kerajaan kepada petani dan nelayan. Ini adalah hak peneroka sebagaimana yang termaktub di dalam perjanjian dengan Felda.

Kami merayu kepada kerajaan baharu agar cakna terhadap nasib peneroka Felda yang sering menerima wang sara hidup lewat setiap bulan sejak kerajaan BN digantikan.

Tambahan pula sambutan hari raya korban yang bakal menjelang seminggu lagi, apakah nasib mereka? Perlu diingat, peneroka menerima wang sara hidup yang lambat yang tidak pernah berlaku di zaman pemerintah yang lalu.

Kita harus faham bahawa tanpa 19 kerusi Felda, HARAPAN samasekali tidak akan boleh membentuk kerajaan. Jangan sesekali mengabaikan mereka kerana ianya seakan mencabar mereka.

Perlu buka mata

Isu beban hutang peneroka juga perkara yang mesti diberi perhatian serius kerana ianya membabitkan hampir RM100,000 seorang.

Kita berharap agar hutang-hutang peneroka ini dapat dikurangkan sehingga 50 peratus dan menghapuskan sama sekali faedah yang amat tinggi iaitu sebanyak 6.2 peratus. Inilah yang patut kita beri perhatian.

HARAPAN sudah semestinya tidak melupakan tawaran yang telah kita berikan demi untuk menarik sokongan warga Felda, dalam Konvensyen Warga Felda pada 19 Mac 2017 dengan menawarkan 5 resolusi kepada warga Felda jika HARAPAN menang dalam PRU14.

Dua daripada lima Resolusi Konvensyen Warga Felda ini akhirnya dimasukkan sebagai antara 10 janji Kerajaan HARAPAN ikrar untuk di laksanakan dalam 100 hari pertama pentadbirannya, iaitu:

  • Janji 3: Menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda, dan
  • Janji 7: Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji, dan merombak semula struktur kepimpinan mereka.

Turut terkandung di dalam Manifesto HARAPAN adalah “Iltizam khusus untuk warga Felda” merangkumi:

  • Iltizam 1: Menghentikan penyelewengan dalam Felda di semua peringkat
  • Iltizam 2: Menyusun semula tadbir urus Felda Iltizam 3: Membela nasib peneroka Felda dan mengurangkan bebanan hutang mereka
  • Iltizam 4: Memodenkan dan menaik taraf kawasan-kawasan Felda
  • Iltizam 5: Memberi peluang pendidikan terbaik untuk anak-anak peneroka Felda”

Malangnya, sehingga kini kedua-dua janji ini masih belum dilaksanakan oleh  HARAPAN sehingga menyebabkan mula timbul suara-suara kemarahan daripada warga Felda.

Pengerusi Majlis Pemuafakatan NGO Felda (MPNF), Mazlan Aliman, pada 12 Julai mendesak HARAPAN menunaikan janji untuk menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda.

Mazlan selaku presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) juga sebelumnya membuat kenyataan pada 18 Mei lalu supaya Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat pelbagai isu dihadapi Felda.

Demi kelansungan kerajaan HARAPAN saya menyeru supaya menteri, pengerusi dan pengurusan tertinggi Felda mestilah membuka mata dan hati mereka. Menjiwai FELDA dalam mengurus lebih 2 juta jiwa di tanah rancangan adalah pra syarat untuk berjaya kerana ianya bukan sekadar mengurus jutaan hektar ladang sawit.

Oleh itu, saya tegaskan sekali lagi, sekiranya isu-isu yang sedang melingkari warga FELDA ini masih tidak diselesaikan dengan segera, tidak mustahil HARAPAN akan dihalau keluar daripada memasuki kawasan-kawasan FELDA seperti mana mereka pernah lakukan sebelum ini.


ZULKIFLI MOHAMED adalah generasi kedua Felda dan juga merupakan Naib Presiden ANAK Kebangsaan.

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS