Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno harap muafakat politik dengan PAS kian utuh
Diterbitkan:  Aug 19, 2018 11:33 AM
Dikemaskini: 4:21 AM

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap persefahaman politik antara parti itu dan PAS akan menjadi semakin utuh pada masa depan.

Kata Asyraf Wajdi PAS dan Umno ialah dua parti mewakili orang Melayu yang terbesar di negara ini dan ia boleh menjadi asas perjuangan untuk memelihara kedaulatan Islam dan Melayu tanpa menafi atau menindas kaum lain.

Beliau yang juga bekas timbalan menteri pada zaman BN dulu berkata kemesraan yang dipamerkan pemimpin Umno dan PAS pada proses penamaan calon untuk pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia di Petaling Jaya semalam adalah sejarah yang penting.

Ia menarik perhatian ramai apabila pemimpin kanan kedua-dua parti bersama-sama mengiringi Dr Halimah ke pusat penamaan calon.

Antara pemimpin kanan PAS yang hadir ialah timbalan presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan setiausaha agung Datuk Takiyuddin Hassan.

Umno pula diwakili - antara lain - naib presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketua penerangan Datuk Shamsul Anuar Nasarah serta Ketua Wanita Umno Datuk Noraini Ahmad.

Tidak seperti PRK Sungai Kandis sebelum ini, kemesraan kedua-dua pemimpin parti itu dapat dilihat dengan ketara, malah anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam hadir dengan pakaian yang unik kerana bersimbolkan persefahaman parti itu dengan PAS.

Bukan sebab nafsu

Menurut Asyraf Wajdi buat kali pertama sejak 1978 Umno dan PAS bergandingan mengiringi bekas exco Selangor, Dr Halimah Ali, untuk menjadi calon pembangkang pada PRK yang akan diadakan pada 8 Sept ini.

"Mudah-mudahan persefahaman politik yang terjalin menjadi titik tolak kepada permuafakatan politik yang lebih utuh bagi dua parti terbesar mewakili umat Melayu Islam di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan umum semalam.

Anak bekas pemimpin kanan Umno Kelantan itu menambah persefahaman antara partinya dan PAS itu sepatutnya tidak bersifat retorik atas nama tahalluf siyasi "yang terjerat dengan perkiraan untung rugi kuasa dan perpolitikan".

"Sebaliknya persefahaman politik harus dijalin berpandukan prinsip Al-Quran iaitu ta’awun Islami," katanya sambil memetik ayat kedua surah al-Maidah.

Katanya apa yang lebih penting semua penyokong Umno dan PAS perlu bersedia memahami dasar agama supaya persefahaman yang mula terbina berjaya.

"Yang penting setiap pendukung parti perlu berjiwa besar dan memahami dasar-dasar al-Quran dan sunnah agar persefahaman yang ingin dibina berpaksikan keimananan dan ketakwaan seutuhnya pada Allah, bukannya menuruti nafsu manusiawi," katanya.

Awas peluru sesat

Sementara itu anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mokhtar Senik menempelak pihak yang mengecam kerjasama yang terbina dengan Umno.

Beliau yang juga antara tokoh ulama berpengaruh dalam PAS berkata pengkritik marah walaupun kerjasama itu dibuat supaya kedua-dua parti dapat menjaga kepentingan Melayu dan Islam

"Yang kamu sembah DAP untuk sama-sama sokong perkara yang bertentangan dengan Islam tu boleh pulak?" katanya.

Melalui hantara di media sosial pagi ini pula Mokhtar sempat mengingatkan pemimpin dan ulama dapat PAS supaya tidak menimbulkan kekeliruan atau keraguan di kalangan anggota parti.

Antara tugas pemimpin dan ulama, kata bekas calon kerusi parlimen Padang Besar itu, ialah memberi pencerahan kepada anggota parti serta orang awam mengenai pendekatan politik diambil ketua tertinggi mereka.

"Jika anda sendiri kurang jelas maka dapatkan penjelasan daripada pimpinan.

"Jangan jadi ejen musuh dan jangan jadi peluru untuk musuh menembak pimpinan dan jemaah. Nanti akan ada peluru sesat yang akan menembusi kepala anda," katanya.

Namun tidak dapat dipastikan kepada siapa kenyataan itu dibuat, atau ada kemungkinan ia dikeluarkan atas sebab ada pemimpin tertentu dalam PAS yang tidak bersependapat dengan keputusan pimpinan tertinggi parti.

Lihat Komen
ADS