Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib gembira Dr M nikmati hasil langkah BN dulu
Diterbitkan:  Aug 20, 2018 11:01 AM
Dikemaskini: 3:06 AM

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak gembira melihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyaksikan sendiri penjualan 49 peratus saham Proton kepada Geely.

"Saya gembira melihat Proton dan Geely menunaikan janji mereka dan membuat pengumuman untuk menjual kereta Proton dengan disaksikan oleh Dr Mahathir yang tampak sangat gembira biarpun hanya setahun sebelum ini, beliau mengkritik saya dan melalui tulisannya berkata, tidak akan lagi bangga terhadap jenama Proton selepas Geely dijadikan rakan kongsi.

Jika keputusan itu tidak dibuat tahun lalu, sudah tentu tiada apa yang boleh disaksikan Tun Mahathir di Geely di China semalam," katanya dalam kenyataan Facebook hari ini.

Najib berkata demikian sebagai mengulas penjualan 49 peratus saham Proton kepada syarikat China, Geely di Hangzhou yang disaksikan perdana menteri semalam.

Perkembangan terbaru itu yang dilihat bakal membuka pintu kepada penjualan kereta Proton ke pasaran China.

Mengulas lanjut, Najib mengimbas tindakan Dr Mahathir tahun lalu yang mengkritik kerjasama itu dan menuduhnya menjual maruah negara.

Mei tahun lalu, Dr Mahathir yang mengilhamkan penubuhan Proton itu menyifatkan pengambilalihan 49.9 peratus kepentingan dalam syarikat kereta nasionalitu oleh Geely Automobile Holdings Ltd dari China sebagai "kehilangan satu ikon negara".

Dr Mahathir juga berkata bahawa Proton tidak lagi menjadi kereta nasional dan sebaliknya mereka yang membeli kereta buatan syarikat itu akan membeli "kereta asing".

Bagaimanapun, Dr Mahathir semalam menyatakan harapan bagi projek kereta elektrik yang akan diusahakan bersama rakan kongsi Geely.

Najib juga mendakwa bahawa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sudah berubah pandangan terhadap projek China yang lain di Malaysia yang sebelum ini dikritik termasuklah Forest City dan Melaka Gateway.

Dr Mahathir sebelum ini menyifatkan pembangunan Forest City di Iskandar, Johor sebagai "menjual kedaulatan" negara.

Walaupun saya dan BN difitnah teruk pada masa itu, saya gembira bahawa langkah-langkah kerajaan BN dulu telah dibuktikan sebagai langkah yang menguntungkan negara dan rakyat.

Lihat Komen
ADS