Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skim insurans untuk B40 mulai 2019 - Dr Dzulkefly
Diterbitkan:  Aug 20, 2018 2:31 PM
Dikemaskini: 6:36 AM

Skim insurans kesihatan sosial untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) akan dilaksanakan bermula Januari tahun hadapan, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata perbincangan mengenai skim yang komprehensif itu memasuki peringkat akhir dan bakal diperluaskan kepada kategori lain termasuk untuk golongan isi rumah berpendapatan pertengahan (M40).

Beliau berkata kementerian sedang membuat perincian, penelitian dan penjelasan berhubung beberapa perkara termasuk sumber kewangan untuk membiayai skim itu sebelum dimasukkan ke dalam Bajet 2019.

Ia masih melibatkan proses perbincangan dan penyelarasan bersama pihak kementerian, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan berhubung beberapa isu penting.

“Saya mahu skim ini diteliti sebaik mungkin sebelum ia dibentangkan kepada umum,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Dzulkefly turut menjelaskan skim insurans kesihatan sosial itu adalah berbeza daripada pelan perlindungan 1Care 1Malaysia yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye sebelum ini dilaporkan berkata skim insurans kesihatan memungkinkan kadar minimum antara RM10,000 hingga RM20,000 setahun diberi untuk setiap keluarga, merangkumi perbelanjaan perubatan dan caj rawatan apabila ditempatkan di wad.

Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang untuk menyiasat aduan berkaitan penggunaan bahasa Mandarin oleh doktor pakar pada sesi taklimat kepada kakitangan bawahan selepas sesi lawatan pesakit di wad sebuah hospital di negeri berkenaan.

Terdahulu, Dr Dzulkefly melancarkan aplikasi mudah alih MyOrtho dan MyGusi bagi menyediakan satu platform yang mengandungi info interaktif, kuiz dan lokasi pergigian berhampiran.

Video kesihatan pergigian dihasilkan bertujuan bagi meningkatkan kesedaran rawatan kanal akar bagi menyelamatkan gigi daripada dicabut, katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan pada majlis itu.

Aplikasi itu boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple Store.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS