Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Senator BN: K'jaan perlu tubuhkan jawatankuasa bebas pantau SST
Diterbitkan:  Aug 20, 2018 9:43 PM
Dikemaskini: 1:53 PM

Kerajaan perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk memantau kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperkenalkan semula bagi menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kata seorang senator BN hari ini.

Bercakap pada sidang akhbar di Parlimen, Khairul Azwan Harun berkata mekanisme pemantauan adalah perlu memandangkan terdapat kebimbangan yang timbul disebabkan kurangnya ketelusan dalam pelaksanaan sistem SST berbanding GST.

"Kita sedia maklum soal kutipan cukai melibatkan beberapa agensi termasuk LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri ) dan juga Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

"Walaupun ia berada di bawah satu bumbung iaitu Kementerian Kewangan, tetapi ia diketuai oleh penguatkuasa yang berbeza. Maka proses pengharmonian antara agensi ini adalah perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh Menteri Kewangan dan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Dewan Negara yang dikuasai BN, meluluskan Rang Undang-Undang Jualan 2018 melalui undian suara bagi membolehkan SST dilaksanakan pada 1 Sept.

Khairul menambah beliau juga telah mengemukakan cadangan semasa perbahasan awal berhubung RUU itu di Dewan Negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara kebimbangan yang timbul termasuk pengurangan bilangan syarikat yang didaftarkan di bawah rejim GST berbanding dengan SST.

"Saya risau bila kita kehilangan banyak syarikat yang telah berdaftar sebelum ini dalam GST, lebih 450,000. Hari ini saya difahamkan dalam sistem SST ini hanya sekitar 77,000 setakat in (berdaftar). Maka saya fikir dalam soal penguatkuasaan ini mungkin wujud sikap pilih kasih atau preference.

"Maka mesti ada satu jawatankuasa bebas untuk memastikan hal seumpama ini boleh dielakkan," katanya.

Khairul berkata kurangnya ketelusan di bawah sistem SST akan mencipta 'pasaran gelap' yang didorong oleh urus niaga yang tidak direkodkan.

"Saya sudah maklumkan isu transfer pricing di antara syarikat-syarikat yang dikuasai oleh pemilik yang sama, diwujudkan semata-mata untuk mengadakan urusan transfer pricing agar satu syarikat yang untung lebih, tetapi yang membayar cukainya mungkin syarikat yang untung sedikit," katanya.

Khairul berkata isu lain yang dikemukakannya termasuk kesan cukai berganda.

"Ini semua harus ditangani oleh kerajaan tetapi tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada agensi-agensi yang berkenaan. Perlu ada satu jawatankuasa bebas," katanya.

Lihat Komen
ADS