Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abdullah Sani mohon maaf pada Mahathir
Diterbitkan:  Aug 21, 2018 11:41 AM
Dikemaskini: 4:08 AM

Selepas mendengar penjelasan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim anggota parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid hari ini menulis surat untuk meminta maaf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Abdullah Sani, beliau menerima penjelasan dan penerangan serta arahan diberi presiden PKR berkenaan.

Kata Abdullah Sani, surat berkenaan sudah dihantar kira-kira jam 9.40 pagi tadi ke pejabat Dr Mahathir.

Bercakap kepada media di pejabatnya di Kelang, Abdullah Sani, Anwar menghubunginya melalui telefon dan perbualan itu berlangsung selama 41 minit.

"Setelah saya diberi nasihat, penjelasan dan arahan oleh Anwar maka saya memahami pelaksaan peralihan kuasa yang saya bangkitkan kebelakangan ini hingga mengheret nama Tun Dr Mahathir.

"Dengan ini saya memohon maaf atas keterlanjuran bicara dan kebimbangan saya terhadap usaha menggagalkan peralihan kuasa adalah tidak benar," katanya.

Isu berkenaan menjadi perhatian ramai apabila Abdullah Sani menyampaikan ucapan secara terbuka dengan mendakwa ada pihak tertentu berpakat untuk menghalang Anwar menjadi perdana menteri.

Sebelum ini pemimpin HARAPAN bersetuju menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dalam usaha mereka menarik sokongan pengundi bagi mengalahkan BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Orang di luar jangan campur

Ia ekoran langkah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyertai HARAPAN. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula dinamakan sebagai calon timbalan perdana menteri.

Sebelum itu calon tunggal untuk jawatan perdana menteri daripada HARAPAN ialah Anwar. Namun langkah itu berdepan kekangan kerana pada waktu tersebut Anwar masih dipenjara.

Akhirnya persetujuan dicapai untuk melantik Dr Mahathir menjadi perdana menteri ketujuh, sebelum ia diserahkan kepada Anwar pada waktu yang ditentukan.

Abdullah Sani mendakwa bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin mengadakan persefahaman dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali bagi menghalang Anwar menjadi perdana menteri.

Untuk rekod Azmin juga kini berstatus timbalan presiden PKR dan sedang berdepan cabaran daripada kem Rafizi Ramli.

Abdullah Sani ialah seorang daripada pemimpin PKR yang berada bersama Rafizi.

Kenyataan Abdullah Sani mengenai Azmin dan Daim dibuat semasa berucap di Seremban dan Johor Bahru.

Semalam Anwar berkata beliau sudah memberi nasihat kepada Abdullah Sani.

Kata Anwar beliau tidak menghadapi sebarang masalah dengan Dr Mahathir. Justeru, katanya, beliau memberikan nasihat kepada Abdullah Sani supaya membetulkan keadaan.

Menurut Abdullah Sani, beliau terpanggil untuk membuat tindakan tersebut selepas yakin Dr Mahathir mampu melaksanakan persefahaman yang diambil oleh parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Namun katanya pihak yang tidak terlibat dalam perjanjian sesama anggota HARAPAN diingatkan supaya tidak menggagalkan usaha tersebut.

"Mereka yang ada di luar sana dan tak ada kena-mengena dengan HARAPAN, jangan campur tangan atau cuba gagalkan peralihan kuasa ini," katanya.

Menjelaskan perbualan berkenaan, Abdullah Sani berkata, beliau berada di Kota Kinabalu apabila dihubungi Anwar.

Katanya beliau berpuas hati dengan penerangan dan arahan Anwar, malah ia memang seiring dengan apa difikirkannya berhubung pelan peralihan jawatan perdana menteri.

Lihat Komen
ADS