Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) bernilai berbilion ringgit, dibatalkan.

Perdana menteri berkata Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang memahami sebab-sebab pembatalan dua projek yang disokong kerajaan China itu.

"Saya telah menjelaskan kepada mereka, dan mereka memahami kedudukan dan menerimanya.

“Pada peringkat awal, berlaku salah faham, namun kini mereka faham mengapa kita lakukannya (batal). Saya tidak fikir China mahu kita muflis,” katanya pada sidang media pada akhir lawatan lima harinya ke China.

Dr Mahathir berkata projek terbabit membabitkan peruntukan wang yang besar, dan Malaysia tidak terlalu memerlukannya pada masa ini berikutan kedudukan kewangan negara dengan jumlah hjutang yang tinggi yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

“Projek tidak diteruskan. Keutamaan kami ialah mengurangkan hutang. Buat masa ini ia ditangguhkan sehingga kita mampu,” kata perdana menteri, namun apabila wartawan meminta penjelasan lanjut, berkata : “Ya ia (projek) dibatalkan buat masa ini.”

ECRL, projek bernilai RM81 bilion sejauh 688 km yang menghubungkan Pelabuhan Klang dan Kota Bharu, Kelantan, yang dilancarkan tahun lepas, dijadual siap pada 2024, manakala TSGP yang meliputi pemasangan saluran paip gas sepanjang 662 km dari Kimanis ke Sandakan dan Tawau, melibatkan kos RM4 bilion.

Perlaksanaan kedua-dua projek itu digantung sejak Julai lalu.

Dr Mahathir sebelum ini berkata syarat sedia ada projek yang dijalankan oleh kerajaan terdahulu tidak baik, antara lain, wang dibayar tanpa mengira kemajuan pembinaan.

Pentadbiran kerajaan baharu turut mengesan syarat kontrak yang diberikan kepada syarikat China, termasuk mengimport bahan dan pekerja dari China, sekali gus rakyat Malaysia tidak memperoleh manfaatnya.

Dr Mahathir mengecam bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kebodohannya melaksanakan projek-projek yang tidak memberi manfaat kepada negara, bahkan membebankan kerajaan sekarang dengan hutang yang besar. 

“Rombongan yang datang juga bertujuan untuk mencari penyelesaian hutang Najib masa dia jadi PM. Hutang berbilion ringgit untuk projek yang tidak bermanfaat kepada negara,” kata Dr Mahathir.

“Kita perlu membayar atas kebodohan Najib…sangat bodoh… menjejaskan kepentingan kita,” katanya.

Dr Mahathir berkata tidak ada lagi perjanjian projek  yang menjejaskan kepentingan Malaysia dibenarkan pada masa depan.

Ditanya mengenai pampasan yang perlu dibayar ekoran pembatalan projek-projek berkenaan, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan kemudian.

Ditanya mengenai sentimen pelabur China terhadap beliau semasa pertemuan mereka sepanjang lawatan itu, Dr Mahathir berkata mereka memahami penjelasan bahawa dua projek berkenaan tidak berdaya maju pada masa ini.

“Mereka tahu saya bukan anti-China. Mereka memahami bagaimana kita perlu menjaga kepentingan Malaysia memandangkan projek itu tidak berdaya maju. Mereka tahu kita adalah negara mesra perniagaan,” katanya.

Dr Mahathir turut menegaskan beliau telah memberi penjelasan kepada mereka bahawa pelaburan langsung asing bukan mengenai membeli tanah dan membangunkan bandar baharu memandangkan inisiatif seperti itu boleh dilaksanakan oleh rakyat tempatan.

Malaysia perlukan mereka membawa masuk pelaburan, teknologi dan menggunakan bahan dan pekerja rakyat Malaysia supaya ramai rakyat yang memperoleh manfaat, katanya.

Menjawab soalan lain, Dr Mahathir berkata Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) akan meneruskan peranan mereka untuk membantu kerajaan, dan tidak terhad kepada 100 hari sahaja.

- Bernama

Lihat Komen
ADS