Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan sasar defisit fiskal 2.8 peratus tahun ini - Lim
Diterbitkan:  Aug 21, 2018 3:56 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Kerajaan komited terhadap usaha konsolidasi fiskal jangka panjang dan menyasarkan untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata sasaran itu akan dicapai menerusi pelaksanaan pelbagai pendekatan termasuk tindakan membatalkan serta menangguhkan perbelanjaan tidak penting kerajaan sebanyak RM10 bilion.

Kerajaan yakin dapat menjimatkan lebih banyak wang pada masa depan, terutamanya selepas bertindak menjadikan usaha pemerolehan yang lebih telus menerusi langkah mempertingkatkan proses tender secara terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) dan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd.

SJPP merupakan pentadbir serta pengurus skim jaminan kredit di bawah Kementerian Kewangan.

Mengulas selanjutnya, Lim berkata, usaha mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan itu turut memerlukan perkongsian awam-swasta sebenar yang mengasingkan kos pembangunan antara kedua-dua pihak yang dapat membantu kerajaan menyediakan aspek infrastruktur tanpa menggunakan terlalu banyak sumber awam.

Malah, katanya, perkongsian awam-swasta merupakan antara pendekatan yang akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Kewangan Awam (PFC) yang dipertanggungjawab untuk mengukuhkan kewangan awam dengan menyenaraikan pelan fiskal jangka pertengahan kerajaan.

“PFC akan turut membantu kerajaan menangani isu tunggakan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion yang mana pembayaran secara berperingkat akan dilakukan mulai tahun depan dalam usaha menguruskan kedudukan fiskal kerajaan.

“Pembayaran kepada perniagaan kecil akan diutamakan kerana golongan ini yang paling banyak terjejas,” katanya.

Sementara itu, MoU yang dimeterai hari ini akan membolehkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapatkan pinjaman tanpa kolateral sehingga RM1 juta menerusi penyelesaian kewangan SJPP-UOB BizMoney.

Menerusi usaha itu, SJPP akan bertindak menjamin sehingga 70 peratus pinjaman menerusi Skim Jaminan Modal Kerja dan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan.

Penyelesaian kewangan SJPP-UOB

BizMoney juga menyediakan pembayaran semula secara fleksibel dalam tempoh 18, 24, 36, 48 atau 60 bulan dengan kadar faedah pada 0.54 peratus sebulan.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS