Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Thailand pertikai dakwaan rompakan bersenjata di perairan Langkawi

Kedua-dua pihak menurut gabenor Satun, itu perlu berbincang bersama selepas Aidiladha bagi menyelesaikan masalah itu.

Terdapat pertikaian terhadap apa yang sebenarnya berlaku dua hari lepas di perairan Pulau Langgun di Langkawi di mana pihak berkuasa Malaysia mendakwa berlaku rompakan bersenjata.

Pihak berkuasa Thailand pula mendakwa ketiga-tiga anggota polis Satun dan timbalan ketua kampung yang ditangkap pihak berkuasa Malaysia hanya melakukan tugas mereka untuk menahan nelayan asing daripada menceroboh perairan Thailand.

"Kedua-dua pihak (Malaysia dan Thailand) mempunyai tuntutan masing-masing, tetapi kami akan membincangkannya (dakwaan kedua-dua belah pihak) kemudian.

“Buat masa ini, kami mahu agar mereka (empat rakyat Malaysia dan empat rakyat Thailand) dibebaskan dan pulang kepada keluarga masing-masing untuk hari raya (Aidiladha),” kata Gabenor Satun Pattanapon Rattanapichetchai kepada Bernama, hari ini.

Raikan Aidiladha

Katanya, penyiasatan untuk mencari pihak yang bersalah dalam insiden itu akan mengambil masa dan akan menyebabkan kesemua lelaki terbabit yang kini ditahan pihak berkuasa Thailand dan Malaysia tidak akan dapat meraikan Aidiladha pada esok (Rabu) dengan orang tersayang.

Kedua-dua pihak menurut gabenor itu perlu berbincang bersama selepas Aidiladha bagi menyelesaikan masalah itu.

Hasil pertemuan antara pegawai Thailand dan Malaysia yang dipengerusikan oleh Pattanapon semalam, empat nelayan Malaysia yang ditahan di balai polis Satun telah dibebaskan pihak berkuasa Thailand kira-kira 11 ​​malam tadi (tengah malam di Malaysia) dan kembali ke Langkawi.

Pihak Thailand berharap pihak berkuasa Malaysia akan mengambil tindakan sama dan membebaskan tiga anggota polis dan timbalan ketua kampung yang kini ditahan di Langkawi.

Menurutnya, perbincangan semalam, berlangsung dengan baik dengan kedua belah pihak saling berusaha untuk menyelesaikan isu tersebut dan mengelakkannya daripada menjadi lebih rumit.

Katanya, pihak berkuasa Malaysia, mahu mengambil langkah kehadapan dengan menubuhkan satu jawatankuasa dimana kedua-dua pihak boleh membincangkan isu seperti pemerdagangan manusia, dadah dan penangkapan ikan.

Mesyuarat itu juga bersetuju agar kedua-dua pihak bertemu lebih kerap dan membincangkan isu-isu semasa secara teratur, kata Pattanapon.

Polis Thai lakukan rondaan

Walaupun pihak berkuasa Malaysia mendakwa berlaku rompakan, pihak Thai menafikannya dan mendakwa tujuh anggota polis bersama ketua kampung Tanjung Po dan timbalannya itu sedang meronda di perairan berhampiran Koh Sam (Pulau Tiga) bagi menghalang pencerobohan nelayan asing.

Pihak terbabit sedang dalam usaha untuk menahan nelayan asing yang menceroboh apabila pihak berkuasa Malaysia dikatakan tiba dan menahan ketiga-tiga anggota polis Satun dan timbalan ketua kampung tersebut atas dakwaan merompak.

Mereka kemudiannya dibawa ke Langkawi untuk​​​​​ disoal siasat dan tiga pistol mereka dirampas, manakala empat nelayan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand telah dipindahkan ke Satun.

Sementara itu, ketujuh-tujuh anggota polis terbabit termasuk tiga yang kini ditahan di Langkawi telah digantung tugas sementara menunggu siasatan rasmi, kata Ketua Polis Satun, Mejar Jeneral Supphawat Tapkiew, kepada Bernama hari ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS