Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN l Mendengar klip video Ustaz Azhar Idrus yang menjawab soalan seorang pendengar ketika menyampaikan kuliah di Medan Ilmu Kelantan, ternyata jawapannya tidak menggambarkan situasi sebenar isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)

Sedangkan isu itu sudah ditangani oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof.

Soalan yang berbunyi, apakah pandangan ustaz (tentang) seorang menteri kita yang minat golongan LGBT, saya sifatkan sebagai provokatif.

Nada soalan itu (yang entah daripada siapa) bukan bertujuan mahukan maklumat atau pencerahan terhadap situasi sebenar isu berkenaan ditangani, tetapi lebih bertujuan untuk mempengaruhi pendengar supaya melihat menteri terlibat (sudah tentulah menteri agama) seolah-olah merestui LGBT melalui ungkapan kalimah minat yang digunakan dalam soalan berkenaan.

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang jawapan ustaz berkenaan kerana jawapannya juga penuh dengan prasangka seakan-akan menteri berkaitan dan kerajaan Pakatan Harapan merestui, membiarkan dan menyokong aktiviti golongan tersebut.

Sedangkan, hakikatnya sudah ada kenyataan jelas daripada menteri yang disiarkan dalam pelbagai media tentang sikap menteri dan kerajaan dalam mendepani isu ini serta kaedah menangani golongan terbabit.

Sepatutnya ustaz berkenaan berperanan memberikan maklumat tepat dan benar kepada soalan provokasi itu dan bukannya menambah perencah supaya pendengar kuliahnya terbawa-bawa dengan tanggapan bahawa kerajaan HARAPAN sedang membiarkan golongan berkenaan bebas melakukan apa saja.

Kembali ke fitrah

Ini termasuk fitnah kononnya kerajaan HARAPAN bersedia meluluskan permohonan untuk berkahwin sejenis atau melayan apa saja kemahuan mereka tanpa sebarang sekatan dan peraturan.

Sebenarnya, menteri dan kerajaan HARAPAN tidak pernah merestui apatah lagi akan membiarkan golongan terbabit mempromosikan amalan tidak baik berkenaan.

Bahkan menteri sudah menyebut secara jelas, mereka tidak dibenarkan sama sekali untuk melakukan sebarang aktiviti yang menyongsang budaya masyarakat dan fitrah kemanusiaan.

Mengapa ustaz berkenaan tidak highlight kenyataan sebenar menteri? Mengapa ustaz berkenaan tidak sebutkan dengan jelas usaha JAKIM, pelbagai NGO, bahkan beberapa individu termasuk SS Mufti Wilayah Persekutuan, pensyarah universiti dan aktivis sosial yang turun menyantuni golongan terbabit untuk membimbing mereka kembali kepada fitrah?

Ustaz berkenaan dalam jawapannya mengaitkan golongan LGBT kini dengan azab Tuhan kepada kaum Nabi Lut (katanya dalam surah Lut, padahal tidak ada surah bernama sebegitu dalam al-Quran) seolah-olah kerajaan HARAPAN sedang merestui aktiviti keji itu dan Malaysia di ambang kemusnahan seperti kemusnahan kaum Lut. Benarkah begitu?

Saya tegaskan sekali lagi, tidak benar sama sekali kerajaan HARAPAN sedang dan akan membiarkan aktiviti golongan berkenaan berkembang atau dipromosikan.

Terbaru, tindakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dan DBKL yang menyerbu sebuah kelab gay beberapa hari lalu di ibu kota membuktikan kerajaan HARAPAN sedang dan akan berusaha secara serius menangani isu ini secara bersepadu.

Mengapa semua itu tidak disebut sebagai jawapan kepada soalan berkenaan? Mengapa kebenaran disembunyikan?

Kerja tak bermoral

Mengapa orang ramai diapi-apikan supaya berburuk sangka kepada usaha-usaha dakwah, bimbingan dan penguatkuasa undang-undang yang dilakukan oleh pelbagai pihak untuk membawa golongan berkenaan kembali ke pangkal jalan atau menerima hukuman setimpal?

Jika semua situasi yang saya sebutkan di atas tidak berada dalam pengetahuan ustaz berkenaan, sepatutnya beliau jujur dengan dirinya sendiri. Takkanlah orang seperti menteri agama, atau mana-mana menteri sekalipun, sama ada yang muslim atau bukan muslim menaruh minat kepada golongan LGBT atau kerja tidak bermoral mereka? Jujurlah.

Ustaz berkenaan sewajarnya memberi gambaran kepada umum dengan gambaran sebenar iaitu tidak ada mana-mana pihak pun yang merestui kerja tidak bermoral mereka dan usaha menanganinya secara bersepadu dan sistematik sedang dilaksanakan dengan giat oleh pelbagai individu, agensi kerajaan dan NGO termasuk tindakan dari sudut undang-undang jika aktiviti kelompok LGBT itu dilakukan secara terbuka dan mengganggu ketenteraman awam.

Pada masa yang sama, semestinya hak-hak mereka sebagai warganegara dan sebagai manusia akan tetap dihormati dan dipelihara.

Menghormati dan memelihara hak-hak mereka tidak bermakna merestui kerja tidak bermoral mereka apatah lagi mereka akan dibiarkan untuk melakukan apa sahaja sesuka hati mereka.

Ustaz berkenaan tidak sepatutnya melihat isu ini dari satu sudut pandang sahaja iaitu sudut pandang hukuman dengan mengenepikan sudut pandang dakwah secara berhikmah dan lemah-lembut seperti yang disarankan oleh al-Quran dan diuswahkan oleh Rasullullah SAW.

Legasi Tok Guru

Berlembut dengan mereka tidak bermakna merestui atau minat dengan aktiviti pelik mereka.

Kalau berlembut dengan mereka nanti perompak, pencuri, penyamun juga akan minta untuk kita berlembut dengan mereka?

Ini qiyas di luar konteks kerana semua perlakuan jenayah itu di bawah takluk undang-undang. Pelakunya tidak bebas untuk melakukan semua itu, sama seperti golongan LGBT juga tertakluk kepada undang-undang.

Saya sangat berharap, supaya tidak ada lagi mana-mana pihak yang cuba mengelirukan masyarakat dengan kenyataan-kenyataan tidak berasas tentang isu ini. Kenyataan menteri dan tindakan pelbagai agensi kerajaan perlu dirujuk sebelum sebarang kenyataan dibuat.

Sepatutnya kuliah di Medan Ilmu Kelantan yang menyambung legasi kuliah ilmu Tok Guru Nik Aziz itu menjadi medan menyebarluaskan keharmonian, dakwah secara berhikmah kepada pelbagai golongan dan paling penting pengisian ilmu bermanfaat seperti yang dibuat oleh almarhum Tok Guru.

Saya sarankan kepada ustaz berkenaan, jujurlah dengan diri sendiri, sebarkanlah maklumat yang sebenar, usah racuni pemikiran orang ramai dengan maklumat separuh masak yang boleh mencetuskan prasangka dan jadikanlah kuliah sebagai medan menyebarkan kasih-sayang, bukan menyebarkan kebencian.


ZOLKHARNAIN ABIDIN adalah pengarah hal ehwal Syariah AMANAH.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

,


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS