Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Raja-raja tak anti demokrasi, buktinya HARAPAN tubuh k'jaan

ULASAN | Mutakhir ini, terdapat banyak pihak melontarkan pandangan kritikal dan sinis terhadap institusi Raja-raja di negara ini, khususnya menerusi media sosial.

Antara yang popular ialah aktivis Fadiah Nadwa Fikri yang menulis artikel 'Jangan Engkau Cium Tangan yang Memukulmu' yang telah pun mengundang pelbagai reaksi tidak berapa lama dahulu.

Dalam tulisan itu Fadiah berkata:

"Satu kesimpulan jelas: bukan sahaja monarki anti demokrasi, malah ia serangan langsung ke atas martabat kita sebagai manusia. Tatkala penyokong peninggalan kuno ini menghujahkan bahawa monarki sebagaimana wujudnya pada hari ini hanyalah perhiasaan perlembagaan yang neutral, realiti menunjukkan sebaliknya. Kita harus melihat melampaui apa yang tertulis di dalam Perlembagaan untuk memahami politik yang diamalkan institusi ini, kepentingan siapa yang ia wakili, dan di pihak mana ia berada."

Lazimnya, pengkritik sebegini sering menjadikan keluarga diraja Johor sebagai contoh menjustifikasikan rasa tidak bersetujunya dengan institusi Raja-raja. Tidak pula disebut keluarga diraja dari negeri-negeri Melayu lain di Malaysia.

Raja-raja meraikan demokrasi

Benar, tiada satu sistem pun yang sempurna dalam mengurus tadbir pemerintahan, namun sehingga hari ini sistem monarki berperlembagaan dan demokrasi berparlimen adalah yang terbaik untuk negara.

Di Malaysia, kuasa Raja-raja diikat dengan Perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri, yang mana setiap Raja hendaklah bertindak setakat mana yang dibenarkan undang-undang. Tiada sesiapa pun boleh mengatasi undang-undang yang tertulis.

Jika benar monarki itu anti-demokrasi, bagaimana mungkin rakyat boleh memilih Pakatan Harapan membentuk kerajaan bagi menggantikan Barisan Nasional. Raja-raja meraikannya dan melantik perdana menteri daripada Pakatan Harapan.

Politik yang diamalkan oleh monarki di Malaysia adalah politik membela agama Islam, orang Melayu dan menjaga kepentingan sah kaum lain. Semuanya disebut dalam Perlembagaan dan udang-undang tubuh negeri.

Negara maju ada raja

Pada penulis tiada salahnya dengan monarki. Banyak negara lain membuktikan monarki memartabatkan kebebasan rakyatnya diselangi dengan kemakmuran dan keadilan sosial.

Lihat sahaja Belanda, Belgium, Sweden, Norway, Denmark, Sepanyol, Jepun dan Qatar. Negara-negara berkenaan cukup maju meliputi hampir semua aspek, di mana ketua negaranya adalah Raja.

Sewajarnya, rakyat negara ini perlu tahu, bukan sahaja secara literal tetapi mendalami sebab-musababnya yang tersirat mengapa wujud Raja-raja di Malaysia.

Jika pengkritik menggunakan hujah nilai kebebasan untuk rakyat, percayalah rakyat Malaysia yang marhaen jauh lebih bebas daripada batang tubuh yang menjadi Raja-raja.

Contoh mudah, rakyat bebas berkunjung ke pusat beli-belah dan membawa keluarga berjalan-jalan. Malah hendak duduk mencangkung sambil menikmati durian pun tiada masalah.

Penulis tidak fikir Raja-raja di negara ini mampu berbuat seperti rakyat di bawah. Itulah harga yang terpaksa dibayar Raja-raja. Tiada kebebasan mandiri seperti rakyat kerana terlalu terikat dengan protokol dan peraturan istana.

Keistimewaan dan beban tanggungjawab

Pengkritik juga mempersoalkan mengapa golongan Raja-raja yang darahnya merah mempunyai keistimewaan berbanding rakyat yang darahnya juga berwarna merah.

Bagi penulis, Raja-raja mempunyai beban tanggungjawab yang jauh lebih berat berbanding keistimewaan dan kemuliaan yang dinikmati.

Apa hebatnya hak istimewa jika terpaksa menanggung dosa satu negeri dan setiap rakyatnya? Apa bagusnya hak istimewa jika hendak memeluk kawan sepermainan pun ditegah pembesar istana? Apa bagusnya hak istimewa jika makan roti canai di kedai mamak sambil memakai baju pagoda pun akan diumpat sekalian rakyat jelata?

Sedangkan rakyat yang darahnya merah, semerah darah Raja-raja dan dipaksakan patuh itu pula bebas menikmati kemakmuran negeri yang diperintah Raja-raja, yang mana langsung tidak menikmati kebebasan seperti rakyatnya sendiri.

Pada penulis, setiap manusia dilahirkan berbeza-beza, sama ada mengikut jantina, kaum, warna kulit, darjat, agama dan kerakyatan.

Ini supaya kita boleh saling belajar dan berkenalan. Pada akhirnya, Allah SWT juga yang menghakimi kedudukan kita sebenar-benarnya. Wallahualam.


SENDUKSIKU KELUANG sedang giat menyelidik kearifan tempatan berkaitan mistik, tulah, kuasa dan daulat Raja-raja dan pembesar-pembesar memerintah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS