Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
12 senator baru angkat sumpah Isnin depan
Diterbitkan:  Aug 24, 2018 12:26 PM
Dikemaskini: 5:39 AM

DEWAN NEGARA l  Seramai 12 orang senator baru akan mengangkat sumpah di Dewan Negara pada Isnin minggu hadapan, yang mana 11 orang merupakan wakil Pakatan Harapan (HARAPAN) dan seorang daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Ini menjadikan anggota Dewan Negara bertambah menjadi 67 senator dengan tiga lagi kerusi masih kosong.

Walaupun dengan pelantikan ini, HARAPAN masih belum menguasai majoriti Dewan Negara. Sekarang,  terdapat 32 senator yang mewakili BN dan tiga senator PAS daripada 55 senator di Dewan Negara.

DAP dan PKR mendapat kerusi terbanyak dengan empat jawatan senator bagi setiap parti. Mereka yang dilantik itu adalah Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying, Anggota Jawatankuasa DAP Perak, Nga Hock Cheh, Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling dan Pengarah Pendidikan DAP Sabah, Adrian Banie Lasimbang.

Senator baru daripada PKR termasuk bekas anggota parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff; Setiausaha Jawatankuasa Pilihan Raya PKR, Ismail Yusof; Ketua Cabang PKR Bera, Monalan Mohamad dab bekas Ahli Parlimen Lumut, Mohamad Imran Abd Hamid.

AMANAH pula diberikan dua kerusi senator.

Mereka yang dilantik itu adalah naib presiden parti itu, Husam Musa dan AJK AMANAH Pusat, Raj Munni Sabu atas lantikan Yang di-Pertuan Agong.

Ketua BERSATU Bahagian Gelang Patah, Nasir Hashim merupakan senator tunggal daripada parti itu.

Sementara itu, Theodore Douglas Lind, seorang peguam kanan dan pengerusi WARISAN dari Sabah, juga dilantik sebagai senator.

Kedua-dua, Hui Ying, adik kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Yusmadi dilantik oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Manakala Nga dan Ismail pula  adalah lantikan oleh Dewan Undangan Negeri Perak.

Minggu lalu, Dewan Negara meluluskan pemansuhan Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan RUU Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) selepas senator BN memberi laluan.

Dewan Negara dijangka membahaskan Rang Undang-Undang Anti-Berita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018, RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Pemansuhan) dan Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2018.

Lihat Komen
ADS