Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafidah Aziz: Janji 100 hari HARAPAN, kalau nak buat 'cincai' bolehlah
Diterbitkan:  Aug 24, 2018 4:02 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Bekas menteri persekutuan, Tan Sri Rafidah Aziz menyatakan walapun ada janji 100 hari pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) yang belum tertunai tetapi tempoh itu bukanlah ukuran bagi rakyat menilai keberkesanan kerajaan.

Rafidah dipetik Utusan Online berkata janji itu boleh saja dilaksanakan kerajaan secara 'cincai' tetapi menyifatkan hal itu tidak realistik.

“Kita undi kerajaan untuk 100 hari? Tidak, tetapi untuk lima tahun, maka pegang pada situ. Dalam manifesto yang diberikan, ada yang sudah dilaksanakan pun.

“Jika ada yang tidak dilaksanakan, itu adalah kerana keadaan memerlukan pelbagai siasatan, tidak boleh dibuat dalam tempoh 100 hari. Kalau nak buat ‘cincai’, bolehlah, semata-mata kononnya kerana janji.

“Bagi saya realitinya, janganlah kita pegang sebuah kerajaan baharu kepada 100 hari untuk buat semuanya, itu tidak realistik. Beri masa, kita tidak pernah pun memberi kerajaan 60 tahun lepas tempoh masa 100 hari,” kata beliau dalam wawancara bersama Utusan Online.

Rafidah yang juga bekas ketua wanita Umno berkata HARAPAN sebaliknya perlu mengetengahkan strategi dan dasar yang bijak.

“Itulah kita kadang-kadang tidak tengok keadaan menyeluruh dan gambaran yang luas. Manifesto satu sahaja, adalah untuk pilihan raya. Tetapi janganlah itu pula hendak dijadikan panduan kepada lima tahun akan datang, saya sendiri pun tidak akan terima.

“Jika ada sistem yang rosak, ia harus dinilai semula melalui proses, prosedur serta undang-undang yang boleh memakan masa lebih sebulan atau dua bulan. Kalau kita nak benarkan landasan mentadbir negara kukuh balik, kita perlu pandang ke hadapan,” jelas bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu lagi.

Lihat Komen
ADS