Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan Rabu depan bagi Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dan bekas calon Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Mazlan Ismail merekodkan penyelesaian mereka berhubung kes saman fitnah yang difailkan terhadap mereka dan satu pihak lagi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mazlan, berkata anak guamnya dan TV3 bersetuju untuk merakamkan penghakiman persetujuan itu pada Rabu ini.
“Penyelesaian ini hanya melibatkan Dr Mazlan dan TV3, tidak (melibatkan satu lagi defendan) Utusan Melayu (M) Berhad. Mereka bersetuju untuk menarik balik artikel, membuat permohonan maaf dan juga kos,” katanya ketika ditemui pemberita selepas kesemua pihak terlibat menemui Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaludin di dalam kamar di Kuala Lumpur.
Menurut Hasnal Rezua anak guamnya kini berada di Makkah bagi mengerjakan haji dan hanya akan kembali ke tanah air pada 19 Sept ini.
"Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 28 Sept untuk anak guam saya membuat permohonan maaf secara terbuka di mahkamah," katanya.
Sementara itu, peguam Azhar Arman Ali yang mewakili Utusan Melayu, berkata beliau menyerahkan kepada anak guamnya untuk membuat keputusan dalam hal berkenaan.
"Terpulang kepada anak guam saya. Saya terima arahan sahaja. Saya telah menyatakan kepada hakim akan kemungkinan penyelesaian,” katanya.
Anwar yang hadir di mahkamah hari ini memfailkan saman itu pada 15 Okt 2015, mendakwa ketiga-tiga defendan telah mengaitkan beliau dengan rasuah melibatkan hakim dan pendakwa raya.
Beliau mendakwa Mazlan telah mengadakan sidang media dan pada ketika itu mengeluarkan perkataan memfitnah berkenaan yang kemudian telah disiarkan TV3 dalam Buletin Utama pada 8 malam, 2 Ogos, 2013 dan oleh Utusan Melayu dalam akhbar Utusan Malaysia pada keesokannya.
Anwar mendakwa defendan telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya dalam sidang media, yang membawa maksud beliau seorang tidak beretika, rasuah, tidak amanah dan tidak bermoral.
Beliau memohon ganti rugi am, teruk dan injunksi untuk menghalang defendan daripada mengulangi atau menerbitkan semula perkataan memfitnah itu.
Mazlan merupakan bekas calon BN bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-13.
- Bernama
