Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Masyarakat Cina tinggal di Balakong sejak zaman British

PRK BALAKONG | Penempatan bangsa Cina di Balakong boleh dijejaki sejak zaman pentadbiran penjajah British di negara ini yang pada ketika itu dikenali sebagai Tanah Melayu.

Ketua Kampung Kampung Baru Batu 11 Lim Chin Yuan berkata ketika awal 40-an, penjajah British mengamalkan dasar pecah dan perintah, yang menyaksikan setiap bangsa ketika itu dipecahkan serta diletakkan di penempatan masing-masing, sehingga terhasilnya lima kampung komuniti Cina di Balakong yang kekal hingga ke hari ini.

Beliau berkata selain kampungnya, perkampungan lain ialah Kampung Sungai Chua, Kampung Baru Balakong, Kampung Kwang Tung dan Kampung Bukit Angkat.

"Untuk kampung saya sahaja, ada kira-kira 300 rumah," katanya kepada Bernama.

Penghuni kesemua kampung itu merupakan antara kira-kira 60 peratus pengundi berbangsa Cina daripada jumlah keseluruhan 62,219 pengundi untuk Dewan Undangan Negeri(DUN) Balakong pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan 8 Sept ini.

Selain pengundi Cina yang merupakan majoriti di kawasan itu, masyarakat Melayu membentuk kira-kira 30 peratus daripada jumlah pengundi, India sembilan peratus dan selebihnya lain-lain.

PRK yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie yang terlibat kemalangan jalan raya 20 Julai lepas menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Wong Siew Ki, 32, dan calon MCA Tan Chee Teong, 40.

Lim berkata menariknya, suatu ketika dahulu kesemua perkampungan ini dilitupi dengan pagar dan setiap pergerakan keluar masuk penduduk kampung sentiasa diawasi.

"Tentera British masa itu tidak mahu ada penduduk kampung yang curi-curi bagi makan kepada tentera Jepun. Ini semua tak ada dalam buku teks sekolah," katanya berseloroh.

Bagi generasi ketiga penghuni Kampung Baru Balakong Aw Fui Koon,50, pula beliau berkata ayahnya Aw Wah, 81, iaitu generasi kedua keluarga Aw juga pernah melalui zaman penjajahan Jepun dan komunis.

"Masa itu umur ayah kira-kira lima tahun, dia pernah beritahu yang abangnya ketika itu berusia 21 tahun mati dibunuh komunis kerana menjadi penterjemah bahasa kepada pihak lain.

"Ayah cakap kekejaman komunis tidak bertempat, sama ada menjadi penterjemah atau tidak, tetap akan kena bunuh jika tidak bernasib baik," katanya.

Bagaimanapun menurut Aw, Kampung Baru Balakong telah menerima pelbagai perubahan dan berubah wajah 100 peratus sejak kewujudannya pada 1948.

"Kampung ini sudah ada banyak kemajuan, rumah penduduk pun lain dan kami juga mempunyai sebuah klinik kesihatan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina serta dewan orang ramai," katanya.

Ketika ditanya sama ada wujud masalah sosial di kawasan tersebut, beliau berkata peratusannya adalah rendah, namun masalah kecurian dan penyalahgunaan dadah masih ada terutamanya di rumah-rumah terbiar.

Aw yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung berkata di kawasan itu, kini terdapat kira-kira 300 rumah dengan 3,000 penghuni.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS