Seorang suspek yang kini berada dalam siasatan membabitkan kes penipuan sebuah agensi pelancongan berada dalam tahanan polis selama lebih 40 hari tanpa menghadapi sebarang pertuduhan, dakwa peguamnya hari ini.
Suspek berusia 39 tahun itu ditahan pada 17 Julai lalu bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana jenayah pecah amanah.
Bagaimanapun, peguamnya, Rajesh Nagarajan berkata, tahanan reman anak guamnya dilanjutkan beberapa kali bagi membolehkan polis yang berbeza bidang kuasa menjalankan siasatan mereka.
Rajesh juga mendakwa lanjutan perintah reman yang biasanya dirujuk sebagai 'tukar gari', 'roadshow' atau 'reman berantai' - adalah amalan biasa di kalangan pegawai penyiasat.
"Sekiranya polis fikir dia bersalah, dan mereka mempunyai bukti, maka dakwa dia. Jika tidak, mereka harus membebaskannya.
"Ini menyalahi undang-undang, polis sudah ada 40 hari (untuk menyiasat), berapa banyak masa yang diperlukan?" soal peguam itu kepada Malaysiakini.
Menurut Rajesh, undang-undang jelas menyatakan polis hanya boleh memperoleh reman selama empat hari terhadap suspek dan selepas itu mereka boleh memohon lanjutan selama tiga hari lagi.
'Reman berantai'
Menurut Rajesh lebih 100 laporan difailkan terhadap anak guamnya di bawah bidang kuasa polis yang berbeza.
Bagaimanapun katanya alasan ini tidak mencukupi untuk menahan anak guamnya tanpa sebarang perbicaraan.
"Apabila dia ditahan reman buat kali pertama, polis perlu tahu sama ada mereka mempunyai cukup bukti untuk mendakwanya atau tidak. Mereka tidak sepatutnya membawanya dari satu bidang kuasa kepada yang lain.
"Dalam kes ini, terdapat hampir 100 laporan polis, jika kita tidak berbuat apa-apa, dia akan berada dalam lokap polis untuk sekurang-kurangnya enam bulan. Itu sudah seperti menjalani hukuman, tetapi tanpa dihukum oleh mahkamah.
"Bayangkan jika ada 500 laporan polis? Adakah itu bermakna dia perlu berada dalam lokap polis selama dua tahun?"
Rajesh menambah anak guamnya tidak perlu direman untuk tempoh yang lama kerana semua laporan melibatkan kes yang sama.
Penipuan pakej pelancongan
Menurut Rajesh, anak guamnya adalah pengarah syarikat pelancongan yang terlibat dalam kes penipuan menyaksikan ratusan pelanggan membuat bayaran pendahuluan terhadap pakej percutian murah.
Rajesh mendakwa anak buahnya dimanipulasi oleh individu yang menjanjikan gaji bulanan sebanyak RM2,000 untuk menjadi pengarah syarikat, walaupun dia tidak mengambil bahagian dalam mana-mana operasi.
Ketika dihubungi semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh tidak menjawab tuduhan berkenaan reman berantai itu.
Bagaimanapun, Amar mengesahkan suspek masih berada di bawah tahanan polis dan sedang disiasat kerana penglibatannya dalam "banyak kes," sambil menambah dia dijangka secara rasmi akan dihadapkan ke mahkamah "tidak lama lagi".
