Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: OSA kekal, jadi pilih wakil rakyat yang tak salah guna

WAWANCARA | Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 membenarkan kerajaan mengklasifikasikan sebarang dokumen sebagai sulit dan sesiapa yang mendedahkan maklumat berkenaan boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun.

Untuk sekian lama, undang-undang itu dilihat sebagai alat kerajaan untuk menyimpan rahsia hal urusannya atau - lebih buruk - untuk menutup skandal-skandalnya.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju bahawa OSA pernah disalahgunakan, tetapi percaya kerajaan masih memerlukan undang-undang itu.

Mungkin penggunaan OSA yang paling memalukan ialah apabila pentadbiran BN sebelum ini mengklasifikasikan laporan umum juru audit mengenai skandal 1MDB sebagai rahsia rasmi.

Tindakan itu menyebabkan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan atas kesalahan mendedahkan sebahagian daripada laporan berkenaan.

Beliau kemudian dilepaskan daripada pertuduhan dengan syarat berkelakuan baik selepas pihak pendakwaan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak membantah rayuan Rafizi terhadap hukuman itu.

Walau apa pun, Mahathir berkata masalah itu bukan terletak pada OSA semata-mata, tetapi bergantung pada kerajaan yang memerintah dan memberikan komitmennya bahawa pentadbiran HARAPAN tidak akan menyalahgunakan undang-undang itu.

Gubal Akta Kebebasan Maklumat

"Undang-undang tidak sempurna, ia terbuka kepada penyalahgunaan, tetapi anda berharap untuk mencari orang yang tidak melanggar undang-undang, yang akan mematuhi undang-undang. Itulah yang penting.

"Kerajaan terdahulu tidak mematuhi undang-undang. Mereka melakukan apa yang mereka suka dengan undang-undang.

"Perkara utama adalah untuk memilih kerajaan yang tidak akan melanggar undang-undang," kata Mahathir kepada Malaysiakini di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Dalam manifesto pilihan raya lalu, HARAPAN berjanji untuk menyemak semula OSA dengan disertakan bersama Akta Kebebasan Maklumat.

"Kerajaan Pakatan Harapan akan menyemak semula Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Perlindungan Saksi 2009, serta kami akan membuat penambahbaikan yang perlu.

"Akta Kebebasan Maklumat akan digubal dan peruntukan kewangan akan disediakan untuk melaksanakan Akta baru ini," kata manifesto pilihan raya umum lalu itu.

Kabinet mesti terbuka bersuara 

Ketika Mahathir ditanyakan berkenaan hal ini, beliau nampaknya agak kurang bersemangat untuk mengulas, namun beliau berkata ia masih boleh ditangani, tetapi menerima perkara itu dengan beberapa kebimbangan.

"Sekiranya anda tidak mahu mempunyai OSA, kami boleh melakukannya (tetapi) tidak akan ada kerajaan kerana kami (akan menjadi) begitu terbatas, kami tidak boleh bercakap secara bebas di kabinet kerana ia akan diketahui oleh rakyat.

"Ada perkara yang mesti kami rahsiakan... Sebagai contoh, jika kami memberitahu semua perkara yang telah kami bincangkan dalam kabinet, ramai menteri yang akan dikecam.

"Kami (kerajaan) perlu menyimpan rahsia, tetapi kamu (jemaah menteri) perlu (bersikap) terbuka di kabinet. Kamu perlu bercakap dengan betul, jika kamu tidak bersuara, kami akan membuat keputusan yang salah," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS