Berita Malaysiakini

'HARAPAN sukar capai belanjawan berimbang dalam masa terdekat'

Kow Gah Chie  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PARLIMEN | Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberi gambaran bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) dijangka membentangkan belanjawan defisit untuk beberapa tahun akan datang.

"Mencapai belanjawan berimbang adalah matlamat yang hendak laksanakan, tapi sukar untuk dicapai dalam situasi kewangan yang agak mengongkong dan hutang negara yang mencecah RM1 trilion.

"Bukan saja sukar pada tahun depan tapi pada beberapa tahun yang akan datang," katanya kepada Dewan Negara hari ini.

Lim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan T Chandra Mohan (HARAPAN) yang menggesa kerajaan memperkenalkan belanjawan berimbang dan memberi peruntukan lebih bagi pembangunan.

Dalam penggulungan perbahasan di Dewan Negara berhubung Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan) 2018, Lim bersetuju dengan saranan Chandra.

Selain menyorot kekangan untuk mencapai belanjawan berimbang, Lim juga mengakui kesukaran untuk kerajaan mengimbangi perbelanjaan untuk pengurusan dan pembangunan.

Antara lain, kata Lim, adalah kerana hampir 40 peratus belanjawan itu akan digunakan untuk emolumen pencen.

Jumlah berkenaan, kata Lim, adalah perbelanjaan tetap yang perlu diperuntukkan sebelum kerajaan persekutuan merancang program lain.

"Kita jangka peruntukan untuk emolumen dan pencen akan melebihi RM100 bilion tahun depan.

"Ini merupakan satu cabaran besar apabila kerajaan persekutuan tidak bercadang untuk mengurangkan penjawat awam," katanya.

HARAPAN yang akan membentangkan belanjawan pertamanya pada 2 Nob sebelum ini mengkritik pentadbiran lama kerana membentangkan belanjawan defisit hampir dua dekad berturut-turut.

Kerajaan membentangkan belanjawan RM289.25 bilion untuk tahun ini dengan 84 peratus atau RM234.25 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pengurusan.

[Baca berita asal]