Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Satu lagi fitnah terhadap BN diperbetul
Diterbitkan:  Aug 27, 2018 6:00 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menyifatkan pendedahan jumlah sebenar kes kaum India tanpa kewarganegaraan hari ini merupakan satu lagi 'fitnah' terhadap BN yang diperbetul.

"Alhamdulillah, satu lagi fitnah sebelum PRU14 terhadap kerajaan BN dulu telah diperbetulkan.

"Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman mengesahkan di dalam Dewan Negara bahawa jumlah kes bangsa India tanpa kewarganegaraan di Malaysia ialah 3,853 dan bukan 300,000 seperti didakwa oleh ramai pemimpin HARAPAN sebelum ini.

"Faktanya, 1,638 daripada 3,853 kes-kes ini juga telah diselesaikan di bawah kerajaan BN pimpinan saya dahulu," katanya.

Najib berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Azis yang menjawab soalan senator T Mohan berhubung jumlah kes yang didakwa pemimpin HARAPAN.

Jelas Azis, setakat Mei tahun ini, terdapat 3,853 permohonan kewarganegaraan dan bukannya 300,000.

Mengulas lanjut, Najib menegaskan bahawa ketika menjadi perdana menteri, beliau memberi keutamaan kepada semua pihak tanpa mengira kaum berhubung kelayakan mendapat kewarganegaraan.

"Walaupun saya dan pemimpin-pemimpin MIC telah memberi penjelasan angka sebenar banyak kali namun kita sering dituduh sebagai menipu oleh beberapa pemimpin-pemimipin HARAPAN kaum India yang tegas bahawa jumlah kes melebihi 300,000.

"Mereka menggunakan isu ini sebagai isu utama untuk membuat demonstrasi dan dalam ceramah-ceramah untuk menaikkan kemarahan kaum India terhadap kerajaan BN.

"Kini, ramai dari pemimpin-pemimpin HARAPAN yang memainkan isu ini telah dilantik menjadi menteri dalam kerajaan baru.

"Dengan pendedahan kerajaan HARAPAN sendiri tentang jumlah kes yang sebenar, adakah mereka akan meminta maaf kerana telah 'tersalah kira' dua tempat titik perpuluhan?" katanya.

Tahun lalu, anggota parlimen DAP M Kulasegaran, Charles Santiago dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II menyorot isu kaum India yang tidak mempunyai kad pengenalan.

Pemimpin PKR pada 2013 pernah mengadakan perhimpunan di Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya dan mendakwa seramai 300,000 kaum India di negara ini tiada dokumen pengenalan diri.

Pada Oktober 2017, Najib menjelaskan bahawa hanya 2,000 orang India yang terlibat dalam kes seumpama itu.

Lihat Komen
ADS